Enam lembu mati dirempuh treler
ALOR GAJAH - Enam lembu mati selepas dirempuh sebuah treler di Jalan Cherana Putih, di sini, pada awal pagi Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.10 pagi, pemandu treler berusia 33 tahun itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, siasatan awal yang dijalankan pihaknya mendapati treler terbabit dalam perjalanan dari arah Alor Gajah menghala ke Taman Bukit Tampin.
"Setiba di lokasi kejadian terdapat sekumpulan lembu yang melintas dari arah kiri jalan.
"Namun pemandu yang beralamat di Taman Bukit Tampin tidak dapat mengelak lalu melanggar kumpulan binatang ternakan itu," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.
Tambahnya, akibat rempuhan itu enam lembu telah mati manakala kenderaan berat itu mengalami kerosakan seperti bumper depan pecah selain lampu depan sebelah kiri dan kanan juga pecah.
"Angkatan Pertahanan Awam (APM) telah keluar ke lokasi dan lembu telah dialihkan dari lokasi kemalangan.
"Di tempat kejadian tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan juga tiada saksi bebas yang tampil membuat keterangan pada pihak polis," katanya lagi.
Katanya, siasatan juga mendapati punca kemalangan disebabkan melanggar binatang dan kes disiasat di bawah Peraturan 10 LN 166/59.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!