[VIDEO] Jangan percaya berita tanpa semak kesahihan - Joohari

A
A
A

NIBONG TEBAL - Calon Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin meminta semua pihak terutamanya anak muda supaya tidak terus mempercayai sesuatu berita tanpa menyemak kesahihan terlebih dahulu.

Joohari yang lebih mesra disapa sebagai Cikgu Joohari itu berkata, perbuatan menyebarkan berita yang telah disunting atau diambil separuh daripada ucapan seseorang itu hanya akan membina perasaan marah.

"Saya percaya, pendidikan sangat penting. Saya minta semua khasnya anak-anak muda, apabila mendapat sesuatu berita, jangan terus terima.

"Berita yang pendek, yang asalnya kita bercakap satu jam setengah, tetapi diambil 30 saat, 40 saat di mana nampak ada kelemahan, itu yang dibesar-besarkan.

"Jangan, jangan (buat begitu). Perbuatan itu bukan membina pemikiran manusia, tetapi hanya membina perasaan marah dan sebagainya. Tolong jaga," katanya ditemui di luar pekarangan Dewan Serbaguna Jawi, di sini pada Sabtu.

Beliau ditemui selepas pengumuman calon yang layak untuk bertanding bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Khairulnizam Hashim.

Tambah Joohari, aspirasi beliau untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap berteraskan konsep 'PADU' iaitu prasarana, akhlak, damai dan untuk semua.

"Saya menekankan konsep PADU yang mana saya ambil dari perkataan perpaduan. P adalah untuk prasarana yang mana, ia seringkali menjadi masalah kepada masyarakat kita termasuk bekalan air, banjir dan jalan raya.

Artikel Berkaitan:

Joohari (dua dari kiri) hadir bersama para penyokong ke Pusat Penamaan Calon yang bertempat di Dewan Serbaguna Sungai Jawi pagi Sabtu. Foto Bernama
Joohari (dua dari kiri) hadir bersama para penyokong ke Pusat Penamaan Calon yang bertempat di Dewan Serbaguna Sungai Jawi pagi Sabtu. Foto Bernama

"A adalah akhlak, akademik dan anak muda. Sementara D, adalah damai. Kita akan memastikan sekurang-kurangnya untuk peringkat ini, kita akan melaksanakan politik dan kempen yang berakhlak dan kita akan menghulurkan pendamaian.

"Bagi U pula, adalah untuk semua. Kita dipilih oleh rakyat pelbagai kaum, parti, ideologi dan saya akan beri perkhidmatan untuk semua yang mengundi kita.

"Sama ada dia mengundi atau tidak, sebagai wakil rakyat, kita adalah wakil yang bertanggungjawab untuk memastikan bahawa rakyat di bawah DUN nya dapat dilayani secara adil," tambahnya.

Ditanya keyakinan untuk menang, Joohari berkata, dengan sokongan padu yang ditunjukkan pada hari penamaan calon itu, beliau yakin, PH akan kembali ke Persidangan DUN bagi kerusi Sungai Bakap.

"Saya percaya, dengan kerja kuat yang dilaksanakan dan terus bekerja kuat, kita akan dapat merealisasikan hasrat kita (untuk menang) nanti," katanya.

Joohari yang juga Bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki (IAB) Cawangan Utara daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum ini diumumkan sebagai calon PH dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap.

Joohari yang juga bekas guru berusia 60 tahun dan merupakan anak jati Sungai Bakap.

Beliau menjawat jawatan Pengarah IAB Cawangan Utara di Jitra, Kedah sejak April 2018 hingga 1 September 2023.

*Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap di sini!.