Kelayakan akademik bukan ukuran jadi pemimpin cemerlang - Sanusi

Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor
Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor
A
A
A

NIBONG TEBAL - Kelayakan akademik tidak boleh dijadikan pengukur kelayakan bagi menjadikan seseorang pemimpin politik cemerlang pada masa hadapan.

Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ramai pemimpin politik di negara ini yang tidak mempunyai kelayakan akademik tinggi, namun mampu menggalas tugas dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Beliau berkata, calon yang ditampilkan PN, Abidin Ismail adalah yang terbaik untuk memastikan kerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap dapat dipertahankan pada 6 Julai nanti.

Menurutnya, ramai pemimpin politik tiada kelulusan apa tetapi intelek juga.

"Intelek bukan kelulusan akademik sahaja. Perlu ada adunan semuanya, kelulusan akademik semata-mata tidak menjamin kecemerlangan ahli politik.

“Tapi kena ada kelulusan akademik juga. Ramai wakil rakyat sekarang ini tak ada PhD (Ijazah Doktor Falsafah), saya sendiri tak ada Phd, tak ada ijazah sarjana,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Penamaan Calon di Dewan Serbaguna Jawi di sini, pada Sabtu.

Abidin (duduk lima dari kiri) bergambar bersama pimpinan PN selepas selesai proses penamaan calon di Dewan Serbaguna Jawi, pada Sabtu.
Abidin (duduk lima dari kiri) bergambar bersama pimpinan PN selepas selesai proses penamaan calon di Dewan Serbaguna Jawi, pada Sabtu.

Menteri Besar Kedah itu berkata, terdapat pelbagai faktor lain melayakkan seseorang menjadi pemimpin politik yang berkesan.

Artikel Berkaitan:

"Ada banyak faktor lagi untuk jadi pemimpin di dalam bidang politik.

“Disebabkan itu kita melihat kesesuaian di sini adalah dia (Abidin). Kekuatan akademik itu calon satu lagi, jadi biar dia tonjolkan,” katanya.

Sebelum ini, kelayakan akademik Abdin dipersoal banyak pihak berikutan kelulusannya tidak dipamerkan pada poster calon berbanding calon Pakatan Harapan, Dr Joohari Ariffin, 60, yang memiliki kelayakan PhD.

Kerusi DUN Sungai Bakap menyaksikan pertandingan dua penjuru dengan dua calon iaitu Joohari daripada Kerajaan Perpaduan dengan calon Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail.

Joohari daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) manakala Abidin daripada Pas.

*Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap di sini!.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!