PRK Sungai Bakap: Tiada had gambar pemimpin parti pada bahan kempen

Penyokong Kerajaan Perpaduan dan Perikatan Nasional (PN) berkumpul pada hari penamaan calon bagi PRK DUN Sungai Bakap di Dewan Serbaguna Sungai Jawi pada Sabtu. Foto Bernama
Penyokong Kerajaan Perpaduan dan Perikatan Nasional (PN) berkumpul pada hari penamaan calon bagi PRK DUN Sungai Bakap di Dewan Serbaguna Sungai Jawi pada Sabtu. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak menetapkan had bagi gambar pemimpin parti politik yang mempunyai jawatan dalam komponen, gabungan atau pakatan pada bahan kempen pilihan raya.

Timbalan Pengerusi SPR, Azmi Sharom berkata, gambar pemimpin parti politik pada bahan kempen termasuklah gambar pemimpin parti politik komponen yang berdaftar secara rasmi atau tidak berdaftar secara rasmi, namun menyokong atau bersekutu calon parti politik bertanding boleh digabung atau diletakkan secara berasingan.

"Ia tertakluk kepada bahagian pilihan raya calon atau parti politik tersebut bertanding.

"Pemimpin yang dimaksudkan adalah individu-individu yang mempunyai apa-apa jawatan di mana-mana peringkat di dalam parti atau parti gabungan/komponen yang berdaftar secara rasmi atau tidak berdaftar secara rasmi," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Pulau Pinang menyaksikan pertandingan dua penjuru iaitu Pakatan Harapan (PH) diwakili Dr Joohari Ariffin, manakala Abidin Ismail, pula mewakili Perikatan Nasional (PN).

Tempoh kempen bermula sehingga jam 11.59 malam, 5 Julai 2024.

Azmi berkata, semua kaedah dan bahan kempen adalah dibenarkan selagi mana ia tidak mengembangkan perasaan jahat, tidak puas hati atau permusuhan atau berunsur perkauman dan menyentuh sensitiviti keagamaan termasuk menyentuh isu 3R serta tidak melanggar peruntukan Akta 5 dan undang-undang lain yang berkaitan.

"Lambang, simbol atau bendera parti politik calon yang bertanding termasuklah lambang, simbol dan bendera parti politik komponen yang berdaftar secara rasmi atau tidak berdaftar secara rasmi, namun menyokong atau bersekutu calon parti politik bertanding tersebut dibenarkan untuk dipamerkan secara bersama atau berasingan di bahagian pilihan raya calon tersebut bertanding (tertakluk kepada pengisytiharan yang dibuat Pegawai Pengurus pada Hari Penamaan Calon)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Azmi berkata, SPR menubuhkan dua Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) untuk memantau semua aktiviti calon-calon yang bertanding ketika berkempen.

"Calon-calon yang telah membayar deposit bahan kempen pilihan raya adalah juga tertakluk kepada undang-undang kecil mana-mana pihak berkuasa tempatan sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5), bagi tujuan mempamer dan mengedarkan bahan kempen pilihan raya yang mengandungi gambar calon, lambang atau simbol parti dan gambar pemimpin parti gabungan atau komponen secara bersama atau berasingan yang diwakilinya," katanya.

Kerusi DUN Sungai Bakap kosong susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.

Pada Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon Pakatan Harapan, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

*Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap di sini!.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!