Projek 66.6 bantu capai 30 peratus kepimpinan wanita di Malaysia
PUTRAJAYA - Representasi wanita dalam kepimpinan negara belum pernah lagi mencapai tahap 30 peratus sebagaimana yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hampir 30 tahun yang lepas.
Pengerusi Projek 66.6, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, jika sesuatu tidak dilakukan secara drastik kemungkinan akan mengambil masa 30 tahun lagi untuk mencapai tahap tersebut.
Katanya, ia dikhuatiri akan menyebabkan kerencatan kepada pembangunan sosial negara dan juga sudut lain.
"Oleh itu, melalui Projek 66.6 ia dapat mempercepatkan keupayaan untuk mendapat tempat 30 peratus wanita dalam kepimpinan negara. Kita kini tidak lagi boleh mengharapkan mana-mana pihak semata-mata untuk mencapai sasaran ini.
"Kita sebagai gabungan wanita Malaysia harus berusaha dengan sendiri bagi memperoleh kejayaan tersebut," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian dan Penyerahan Watikah Pelantikan Peserta Projek 66.6 di sini pada Sabtu.
Majlis tersebut dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Tambah beliau, sangat penting untuk sesebuah negara melahirkan pemimpin daripada kalangan wanita yang mampu berdaya saing dan berupaya mencorakkan landskap pembangunan dengan lebih efektif.
Jelasnya, Projek 66.6 fasa pertama akan berlangsung selama 18 bulan yang mana proses pembelajaran akan dilaksanakan secara dalam talian dan kelas fizikal.
"Dalam tempoh 18 bulan ini, para peserta akan didedahkan dengan pelbagai ilmu mengenai kepimpinan akar umbi, pengurusan organisasi, kaedah pemikiran kritikal, proses penyelesaian masalah dan juga teknik berkesan dalam komunikasi bagi membolehkan mereka menjalankan tugas sebagai seorang pemimpin yang efektif.
"Setelah tamat (graduasi) para peserta akan memulakan tiga bulan kerja komuniti di lapangan yang mana mereka akan menyertai masyarakat setempat di dalam komuniti bagi membantu menyelesaikan permasalahan yang timbul," ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!