Usul rujuk Wan Saiful ke jawatankuasa Parlimen Isnin ini

Wan Saiful
Wan Saiful
A
A
A

SHAH ALAM - Usul untuk merujuk Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen dijangka dibentangkan pada Isnin ini.

Ia berikutan dakwaan Wan Saiful bahawa pertuduhan kes mahkamah yang dikenakan terhadapnya boleh dibatalkan dan digugurkan pada sidang Dewan Rakyat, 21 Mac lepas.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat bertarikh 24 Jun yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, usul nombor satu itu bakal dikemukakan oleh menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) selepas sesi pertanyaan lisan.

“Bahawa pada Rabu, 28 Februari 2024 dan Khamis, 21 Mac 2024, Wan Saiful telah menyatakan bahawa pertuduhan kes mahkamah terhadapnya boleh dibatal serta digugurkan masing-masing seperti dalam Penyata Rasmi muka surat 41 pada 28 Februari 2024 dan Penyata Rasmi muka surat 38 dan 39 pada 21 Mac 2024.

“Dewan yang mulia ini memandang serius kenyataan beliau secara tersirat telah mendakwa ada individu konon bertindak bagi kerajaan dan boleh memanipulasi untuk membatal atau menggugurkan pertuduhan kes mahkamah.

“Perbuatan ini menunjukkan Wan Saiful menyebut perkara yang sedang dalam pertimbangan mahkamah dan boleh dianggap merosakkan kepentingan pihak bagi kes tersebut,“ kata usul terbabit.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanafi memfailkan usul bagi merujuk Wan Saiful ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen selepas difahamkan membuat sangkaan jahat serta mendakwa Zulkafperi sebagai 'ejen' memujuk atau menyogok wakil rakyat pembangkang untuk menyokong kerajaan.

Menerusi aturan mesyuarat muka surat 19 itu, Wan Saiful yang juga bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu dirujuk untuk menentukan sama ada kenyataan dibuat dalam Parlimen mengelirukan atau sebaliknya.

Artikel Berkaitan:

“Maka dengan ini dipersetujui bahawa Wan Saiful hendaklah dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan untuk membuat penentuan sama ada kenyataannya mengelirukan Dewan dan merosakkan kepentingan pihak yang berbicara dalam kes tersebut.

“Mengambil apa-apa keterangan yang difikirkan perlu, selepas itu jawatankuasa ini hendaklah membuat syor dalam satu penyata untuk pertimbangan Dewan." ujar usul tersebut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!