Sejarah buktikan hubungan Malaysia-China untungkan kedua-dua negara - PM

Anwar ketika menerima kunjungan rasmi akan sejawatannya dari China, Li Qiang (kiri) pada Rabu. Foto Bernama
Anwar ketika menerima kunjungan rasmi akan sejawatannya dari China, Li Qiang (kiri) pada Rabu. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Sejarah membuktikan hubungan antara Malaysia dengan China boleh saling menguntungkan biarpun ada pihak yang menyuarakan kebimbangan bahawa ia akan merugikan negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ramai rakan beliau (pemimpin) negara luar mempersoalkan sama ada hubungan dua hala Malaysia yang dipertingkatkan dengan China boleh merugikan Malaysia sebagai sebuah negara yang lebih kecil.

"Saya memberi jaminan bahawa hubungan kami (Malaysia-China) berakar umbi dari sifat saling menghormati.

"Malah mengikut sejarah, sejak zaman pemerintahan Maharaja China dan Sultan Melaka hubungan antara kedua-dua negara ini adalah saling menguntungkan," katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau pada Sabtu.

Anwar pada Rabu lalu dilaporkan menerima kunjungan rasmi akan sejawatannya dari China, Li Qiang dan mereka membincangkan mengenai perkara-perkara berkait hubungan dua hala antara Malaysia dan China.

Selain itu, kedua-dua pemimpin terbabit saling bertukar pandangan berhubung isu-isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

Anwar menjelaskan, perbincangan beliau bersama dengan Perdana Menteri China itu membuktikan kepercayaan beliau terhadap sifat kepimpinan Cina yang mesra, berbudi bahasa dan menghormati Malaysia.

"Walaupun bertubi-tubi soalan dan naratif terutamanya dari Barat, saya lihat ada pemahaman yang mendalam dan penghayatan perbezaan budaya daripada rakan-rakan Cina kita.

Artikel Berkaitan:

"Sepanjang perbincangan kami, tidak ada tanda-tanda keangkuhan atau merendahkan kita. Kami menangani perbalahan isu sebagai rakan kongsi dan rakan yang dipercayai. Saya mengambil peluang ini untuk meyakinkan orang lain terutamanya sesama rakyat Malaysia bahawa hubungan kita dengan China adalah cerminan rasa hormat dan persahabatan sejati," ujarnya

Tegas Anwar, beliau dan Li Qiang kekal komited untuk memupuk dan mengukuhkan ikatan antara Malaysia dan China.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!