PRK Sungai Bakap: Jentera UMNO Negeri Sembilan atur gerak kerja bantu calon PH
JASIN - Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan akan menyusun dan mengatur gerak kerja jentera bagi memberi sokongan kepada calon Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap.
Pengerusinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias, berkata, biarpun bahagian itu tidak diberikan tugasan khusus untuk menjaga Sungai Bakap namun pergerakan jentera akan dilakukan pada minggu depan sekali gus membantu PRK di kawasan berkenaan.
Jalaluddin berkata, telah meminta sayap Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO negeri itu juga diminta untuk bersiap sedia dengan penugasan yang akan diberikan dalam tempoh berkempen.
Katanya, walaupun UMNO dan BN tidak bertanding, namun sebagai rakan dalam komponen Kerajaan Perpaduan pihaknya mengambil tanggungjawab itu untuk membantu memastikan calon PKR boleh menang.
"Kita akan masuk (Sungai Bakap) minggu hadapan Insya-ALLAH tugasan sedang disusun sekarang.
"Sedikit sebanyak membantu PRK itu terutama memastikan lebih 5,800 ahli UMNO keluar untuk memberikan sokongan kepada calon PKR itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jasin di Sungai Rambai di sini, pada Sabtu.
Jelasnya, bantuan jentera ini sama seperti yang pernah dilakukan di beberapa PRK sebelum ini termasuk di PRK Kuala Kubu Baru.
Media melaporkan Sungai Bakap menyaksikan pertembungan sengit antara calon dari Kerajaan Perpaduan Kerajaan dengan Perikatan Nasional (PN).
Kerajaan Perpaduan mempertaruhkan bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki cawangan Utara Dr Joohari Ariffin, daripada PKR manakala Perikatan Nasional (PN) menamakan Naib Yang Dipetua PAS Nibong Tebal Abidin Ismail sebagai wakil.
PRK DUN Sungai Bakap diadakan berikutan kematian Nor Zamri atau lebih dikenali sebagai YB Abang Zam pada 24 Mei lalu akibat penyakit keradangan dalam perut.
Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos lalu menentang calon Pakatan Harapan, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi. Beliau mendapat 15,433 undi.
*Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap di sini!.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!