PRK Sungai Bakap peluang terbaik PH cipta sejarah

Para penyokong Kerajaan Perpaduan berhimpun pada hari penamaan calon bagi PRK DUN Sungai Bakap di Dewan Serbaguna Sungai Jawi pada Sabtu. Foto Bernama. Gambar kecil: Saifuddin Nasution, Zambry
Para penyokong Kerajaan Perpaduan berhimpun pada hari penamaan calon bagi PRK DUN Sungai Bakap di Dewan Serbaguna Sungai Jawi pada Sabtu. Foto Bernama. Gambar kecil: Saifuddin Nasution, Zambry
A
A
A

NIBONG TEBAL - Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap adalah peluang terbaik Pakatan Harapan (PH) untuk mencipta sejarah dengan mengalahkan parti penyandang bagi kerusi itu iaitu Pas.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, dalam konteks pilihan raya kali ini, PRK Sungai Bakap dilihat berbeza dengan PRK-PRK sebelum ini kerana sekiranya PH menang, ia akan menjadi kejutan berikutan kerusi Sungai Bakap sebelum ini milik Perikatan Nasional (PN).

"Dengan fokus untuk menang, ia bermaksud berbeza dengan PRK Pulai (Perpaduan menang), PRK Pelangai, calon Barisan Nasional (BN) mengekalkan kemenangan. Di PRK Kemaman, Pas dan PN kekal menang.

"Jika sebelum ini Sungai Bakap dimenangi oleh PN, PRK ini peluang terbaik untuk calon PH mencipta sejarah iaitu mengalahkan penyandang iaitu Pas," katanya ketika ditemui di luar pekarangan Dewan Serbaguna Jawi di sini pada Sabtu.

Sementara itu, BN akan memberi komitmen dalam mempersiapkan semua jentera parti bagi membantu calon PH, Dr Joohari Ariffin dalam menghadapi PRK Sungai Bakap.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, BN akan memberi sokongan tanpa berbelah bagi untuk memastikan kemenangan berpihak kepada calon PH yang dipertaruhkan.

Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya BN DUN Sungai Bakap berkata, BN yakin dengan kemampuan Joohari dalam memberi perkhidmatan terbaik untuk masyarakat Sungai Bakap sekiranya dipilih pada 6 Julai nanti.

"Kita telah berbincang di peringkat BN untuk memberi sokongan yang tidak berbelah bagi kepada calon PH. Kita tak ada masalah dengan calon malah tak ada masalah dalam konteks kerjasama.

Artikel Berkaitan:

"Kita sudah mengadakan beberapa siri mesyuarat bagi memastikan supaya setiap jentera sudah bersiap sedia dan bersedia untuk bergerak dengan kemampuan yang ada di peringkat BN bersama dukungan dengan PH.

"Dengan calon yang ada, calon yang baik, insyaAllah kita akan bekerja bersama-sama bagi memastikan calon Dr Joohari menang. Kita yakin beliau akan mampu memberi perkhidmatan yang baik kepada masyarakat Sungai Bakap.

Komitmen daripada BN, kita akan laksanakan sebaik mungkin," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

*Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap di sini!.