Terap elemen majmuk meski berbeza ideologi, falsafah politik - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid bersama Hajiji (kiri) dan Abdul Rahman (dua dari kanan) pada Mesyuarat UMNO Bahagian Tuaran di Dewan Seri Sulaman pada Sabtu.
Ahmad Zahid bersama Hajiji (kiri) dan Abdul Rahman (dua dari kanan) pada Mesyuarat UMNO Bahagian Tuaran di Dewan Seri Sulaman pada Sabtu.
A
A
A

TUARAN - [DIKEMAS KINI] Elemen dan ciri-ciri majmuk rakyat Malaysia yang hidup aman harmoni perlu diterapkan meskipun berbeza ideologi dan falsafah dalam sesebuah organisasi politik, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Mengambil contoh di Sabah, Timbalan Perdana Menteri berkata, Negeri di Bawah Bayu itu yang mempunyai kepelbagaian etnik, agama dan bangsa serta budaya adalah ciri-ciri kemajmukan serta elemen dalam masyarakat yang perlu dijadikan model organisasi politik.

"Maka kita tidak boleh terlalu ekstrem kanan atau kiri untuk menyatakan bahawa perjuangan kita sahaja yang benar tanpa mempedulikan elemen-elemen lain. Kita mesti hormat agama lain juga.

"Itulah sebabnya saya katakan kebersamaan, maka pelajari asuhan adab atau akhlak untuk menangani perbezaan, perbezaan pendapat itu boleh, tetapi ada adab tatacara untuk menanganinya," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Tuaran di Dewan Seri Sulaman di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah; Pengerusi Pakatan Harapan Sabah, Datuk Christina Liew dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Tuaran.

Ahmad Zahid turut menzahirkan penghargaan atas kehadiran Hajiji yang mencerminkan kebersamaan dalam perjuangan dan pendirian yang jelas, biarpun berbeza organisasi politik.

"Ini bukan bererti kita meninggalkan mana-mana kawan, bagi saya soal musuh itu hak kamu, sahabat kamu adalah sahabat aku juga, untuk itu kebersamaan kita dalam perjuangan sama ada parti atau mana-mana organisasi, pendirian kita harus jelas," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kebersamaan antara kerajaan Persekutuan dan negeri adalah perlu demi kepentingan rakyat bagi mengatasi masalah dihadapi di peringkat negeri termasuk isu air, elektrik, jalan raya, peluang pekerjaan, pelancongan dan pendidikan.

Artikel Berkaitan:

Menyifatkan UMNO sebagai sebuah parti yang rasional, Ahmad Zahid memberi komitmen parti itu untuk melakukan yang terbaik untuk rakyat Sabah dan dalam masa sama, memohon pimpinan tempatan untuk tidak membuat sebarang keputusan dan kenyataan tergesa-gesa.

"Masanya belum sampai, kita harus lebih rasional, insya-ALLAH, yang penting adalah rakyat jangan mangsakan rakyat. Sabah mesti dimajukan, kestabilan politik wajib diwujudkan di bumi Sabah ini," katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!