FAM bakal kembangkan Liga Bolasepak Puteri B-15
PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) akan mengembangkan penganjuran Liga Bolasepak Puteri Bawah 15 tahun (B-15) dalam misi melahirkan lebih ramai bakat baharu bagi meningkatkan mutu bola sepak wanita di negara ini.
Pengerusi Jawatankuasa Bolasepak Wanita FAM, Datuk Suraya Yaacob berharap lebih banyak pasukan akan menyertai liga itu pada masa akan datang selain hadiah kemenangan dapat ditingkatkan.
"Tahun ini sembilan pasukan sertai dan tahun depan kita harap lebih 10 pasukan akan bersaing.
"Bila banyak pasukan sertai, liga akan lebih panjang jadi sudah tentu hadiah kemenangan pasti tinggi,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutup liga berkenaan di Padang Kompleks Sukan PKNS di sini pada Sabtu.
Kejohanan Liga Bolasepak Puteri B-15 2024 menyaksikan SSS Leopard FC dinobatkan sebagai juara keseluruhan selepas mengumpul 21 mata daripada lapan perlawanan yang berlangsung selama lapan minggu sekali gus membawa pulang wang kemenangan berjumlah RM15,000.
Naib juara diraih pasukan Velocity Academy yang membawa pulang RM10,000 selepas mengutip 20 mata manakala pasukan Melaka ditempat ketiga dengan 17 mata dan membawa pulang RM5,000.
Pemain Velocity Academy, Putri Mia Alysa Ahmad Zakiyamani, 13, dinobat sebagai penjaring terbanyak dan pemain paling bernilai pada kejohanan itu sekali gus membawa pulang trofi dan wang berjumlah RM2,000.
Dalam pada itu, Suraya berkata, FAM juga akan mempergiatkan usaha memperkasakan bola sepak wanita dengan menjalinkan kerjasama bersama Kementerian Pendidikan (KPM) bagi membolehkan lebih banyak sekolah mempunyai pasukan bola sepak lelaki dan perempuan.
"Kita percaya selepas ini kita boleh buat (liga bola sepak) kategori lebih muda dan lahirkan lebih ramai pemain yang dapat beraksi di pelbagai peringkat pada setiap tahun,” katanya. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!