Semak resit beli diesel, bimbang peniaga ambil kesempatan - KPDN

Resit pembelian pelanggan yang dimuat naik di Facebook pada Jumaat. Foto Facebook Maskur Fidzwan Kure.
Resit pembelian pelanggan yang dimuat naik di Facebook pada Jumaat. Foto Facebook Maskur Fidzwan Kure.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) meminta orang ramai di Sabah dan Sarawak supaya sentiasa menyemak resit pembelian diesel kerana dibimbangi peniaga mengambil kesempatan apabila menjualnya pada harga RM3.35 per liter.

Ia berikutan seorang pelanggan memuat naik resit pembelian di sebuah stesen minyak di Tawau yang dipercayai menjual diesel mengikut ketetapan harga di Semenanjung, malah tindakan itu dianggap tidak wajar sama sekali.

KPDN berkata, umum mengetahui bahawa penyelarasan harga bahan api tersebut hanya terpakai di Semenanjung bermula 10 Jun lalu.

Menurutnya, Sabah dan Sarawak berkecuali kerana masih menikmati diesel pada harga RM2.15 per liter.

"Nasib baik semak resit kan? Begitulah pentingnya semak resit sekiranya berlaku perubahan harga seperti ini, ada bukti dan boleh dapat ganti rugi.

"Sebagai peniaga beretika, menjadi tanggungjawab untuk menjual pada harga yang ditetapkan dan mengembalikan wang atas kesilapan tersebut," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kerajaan menetapkan harga diesel di Semenanjung RM3.35 per liter selaras dengan pelaksanaan penyelarasan semula subsidi bahan api tersebut.

Menteri Kewangan Il, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, penetapan dibuat mengikut harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula 'Automatic Pricing Mechanism'.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, untuk tempoh seterusnya, harga diesel semasa akan diumumkan pada setiap Rabu mengikut amalan semasa Kementerian Kewangan (MoF).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!