[VIDEO] Sukan bendang gamit kenangan berkubang dalam lumpur

A
A
A

PARIT - Lebih 3,000 pengunjung 'bermandi' lumpur memeriahkan Karnival Sukan Bendang Daerah Perak Tengah di Bendang Layang-Layang Kanan di sini pada Sabtu.

Program yang berlangsung selama dua hari itu bagai mengimbau nostalgia apabila permainan sukan rakyat seperti pukul bantal, meniti basikal, tangkap itik serta ikan dan panjat tiang licin diadakan di samping pertandingan bola sepak, bola jaring dan tarik tali.

Kehadiran beberapa pelajar antarabangsa daripada Universiti Teknologi Petronas (UTP) menjadi tumpuan apabila mereka turut berkubang ketika menyertai pertandingan bola sepak bendang bersama penduduk kampung.

Pasukan pelajar antarabangsa merasai pengalaman berkubang dalam bendang ketika menyertai Karnival Sukan Bendang Daerah Perak Tengah di Bendang Layang-Layang Kanan, Parit pada Sabtu.
Pasukan pelajar antarabangsa merasai pengalaman berkubang dalam bendang ketika menyertai Karnival Sukan Bendang Daerah Perak Tengah di Bendang Layang-Layang Kanan, Parit pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Dari kiri: Abubakar, Ahmad Shamil dan Mohd Mochtar.
Dari kiri: Abubakar, Ahmad Shamil dan Mohd Mochtar.

Pelajar, Abubakar Aji, 35, yang berasal dari Nigeria berkata, dia bersama 10 rakan dari Bangladesh dan Pakistan teruja berpeluang menyertai sukan rakyat buat pertama kali.

Dia yang baru lima bulan menuntut di UTP Seri Iskandar berkata, mereka tertarik untuk mengenali budaya penduduk tempatan secara dekat selepas mengetahui acara menerusi hebahan di kampus.

"Pengalaman pertama berada di sawah padi tidak boleh digambarkan. Saya ingatkan pertandingan bola sepak dan meniti basikal ini diadakan di kolam seperti ditonton di Youtube rupa-rupanya bukan, ia tidak sama langsung.

"Lebih mengejutkan apabila sampai di lokasi, penduduk melayan kami dengan mesra, tidak lekang dengan senyuman malah menyediakan sarapan," katanya ketika ditemui di sini.

Sukan rakyat pukul bantal antara aktiviti disediakan pada Karnival Sukan Bendang Daerah Perak Tengah di Bendang Layang-Layang Kanan, Parit pada Sabtu.
Sukan rakyat pukul bantal antara aktiviti disediakan pada Karnival Sukan Bendang Daerah Perak Tengah di Bendang Layang-Layang Kanan, Parit pada Sabtu.

Karnival Sukan Bendang itu dirasmikan oleh Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah serta dihadiri Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee.

Kakitangan awam, Ahmad Shamil Mohamed, 44, berkata, penganjuran karnival berkenaan bukan sahaja menggamit kenangan zaman kanak-kanak malah memberi pengalaman baru kepada generasi muda bergelumang dalam bendang.

"Dahulu balik sekolah mandi tali air, sungai, menggagau ikan dan sebagainya yang sekarang ini sudah tiada lagi.

"Apabila ada acara ini, kita ambil peluang kembali main bendang, duduk dalam lumpur bersama dengan generasi baharu," katanya.

Meniti basikal menggamit nostalgia pada Karnival Sukan Bendang Daerah Perak Tengah di Bendang Layang-Layang Kanan, Parit pada Sabtu.
Meniti basikal menggamit nostalgia pada Karnival Sukan Bendang Daerah Perak Tengah di Bendang Layang-Layang Kanan, Parit pada Sabtu.

Bagi Penghulu Mukim Layang-Layang, Mohd Mochtar Mustaffa berkata, penganjuran kedua selepas tujuh tahun terhenti menyemarakkan sambutan Tahun Melawat Perak 2024 selain memperkenalkan semula sukan rakyat yang semakin dilupai.

"Penyertaan dan kehadiran pengunjung dari dalam dan luar daerah Perak Tengah amat memberangsangkan berbanding 2017 lalu.

"Program yang mendapat kerjasama daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Tourism Perak adalah medan terbaik untuk kita beri pendedahan kepada generasi muda mengenai cara hidup orang kampung dulu-dulu selain merapatkan silaturahim," katanya.

Sementara itu, Khairudin yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Belanja, acara sukan rakyat itu boleh dipromosikan untuk dijadikan sebagai salah satu daya penarik kepada masyarakat.

"Acara di bendang ini juga memperlihatkan pemandangan indah di waktu pagi. Lihat sahaja sambutan masyarakat hari ini, Kita lihat pelbagai lapisan masyarakat hadir utk memberi sokongan dan menyertai.

"Kemungkinan kita mencadangkan kepada Tourism Perak untuk dijadikan acara tahunan selepas menuai padi," katanya.

Karnival Sukan Bendang Daerah Perak Tengah itu turut mengundang artis tempatan, Wahid Senario dan Renggo Arrow memeriahkan suasana di samping diadakan rewang kenduri rakyat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!