Keluarga terkaya Britain dihukum penjara eksploitasi pembantu rumah

Peguam keluarga Hinduja, Nicolas Jeandin (kiri) dan Robert Assael (kanan) bercakap kepada media sejurus keluar dari mahkamah di Geneva. Foto EPA
Peguam keluarga Hinduja, Nicolas Jeandin (kiri) dan Robert Assael (kanan) bercakap kepada media sejurus keluar dari mahkamah di Geneva. Foto EPA
A
A
A

NEW DELHI - Empat ahli keluarga Hinduja yang berasal dari India, merupakan keluarga terkaya di Britain, pada Jumaat dijatuhi hukuman penjara di Switzerland kerana mengeksploitasi pembantu rumah mereka dari India.

Mahkamah di Geneva mendapati Prakash Hinduja, 79, isterinya Kamal, 75, anak lelaki Ajay, 56, dan menantu perempuan, Namrata, 50, bersalah kerana membayar gaji rendah dan menyekat kebebasan pekerja mereka yang diambil terus dari India untuk bekerja di rumah mewah mereka di Lake Geneva.

Prakash dan isterinya, Kamal masing-masing dijatuhi hukuman penjara empat tahun enam bulan manakala Ajay dan isteri, Namrata menerima hukuman penjara empat tahun.

Keluarga Hinduja, yang tidak hadir di mahkamah semasa keputusan dibacakan, dibebaskan daripada tuduhan lebih serius iaitu pemerdagangan manusia atas alasan pekerja itu datang ke Switzerland secara sukarela dan sedar dengan kontrak pekerjaan mereka, menurut laporan media British.

Mereka menghadapi tuduhan seperti merampas pasport kakitangan domestik mereka, menghalang mereka keluar dan membuat mereka bekerja dalam tempoh yang panjang.

Pembantu rumah itu dibayar gaji antara 220 hingga 400 franc Swiss sebulan, jauh lebih rendah daripada kadar biasa di Switzerland, menurut laporan laman web Guardian.

"Mereka mengaut keuntungan daripada kesengsaraan dunia," kata pendakwa raya Yves Bertossa kepada mahkamah.

Pendakwa raya juga berkata, keluarga berkenaan membelanjakan lebih banyak wang untuk seekor anjing daripada pekerja mereka.

Artikel Berkaitan:

"Keempat-empat Hinduja tahu kelemahan kakitangan itu dan tahu apa peraturan di Switzerland, kerana mereka semua adalah warganegara Swiss dan Ajay mendapat pendidikan di Switzerland," kata hakim yang mendengar perbicaraan itu, Sabina Mascotto dalam laporan.

Defendan kelima dalam kes itu adalah pengurus perniagaan keluarga, Najib Ziazi, yang dijatuhkan hukuman penjara 18 bulan dengan penangguhan.

Peguam bagi keluarga Hinduja telah memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.

"Keluarga ini mempunyai keyakinan penuh terhadap proses kehakiman dan tetap yakin bahawa kebenaran akan terserlah," kata peguam mereka.

Prakash, yang dilahirkan di India, adalah seorang daripada tiga beradik yang keluarganya mengawal Kumpulan Hinduja, memperoleh kewarganegaraan Swiss pada 2000.

Abang sulung, Srichand Parmanand Hinduja, meninggal dunia pada usia 87 tahun di London pada Mei 2023 selepas itu Gopichand, 84, mengambil alih sebagai pengerusi kumpulan yang dianggarkan bernilai £37 bilion (kira-kira AS$47 bilion).

Ashok, anak bongsu pengasas kumpulan Parmanand Deepchand Hinduja, menguruskan operasi konglomerat di India.

Terdapat perebutan kuasa dalam kumpulan itu tetapi keluarga berkenaan mencapai perdamaian pada 2022.

Kumpulan ini terlibat dalam sektor seperti automotif, perbankan, teknologi maklumat, kimia, tenaga, media, infrastruktur dan penjagaan kesihatan dan menggaji 200,000 orang di India dan luar negara. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!