'Jika ada PRK Jeli, Gua Musang saya mungkin bertanding' - Ibrahim Ali

Ibrahim (tengah) ketika dalam sidang media di Ibu Pejabat Putra, Titiwangsa Sentral pada Sabtu.
Ibrahim (tengah) ketika dalam sidang media di Ibu Pejabat Putra, Titiwangsa Sentral pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Datuk Dr Ibrahim Ali tidak tolak kemungkinan untuk bertanding jika berlaku kekosongan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Jeli atau Gua Musang.

Ibrahim berkata, pendirian itu bagaimanapun bergantung kepada keputusan perbincangan bersama kepimpinan parti tersebut.

"Kalau ada PRK di (Parlimen) Jeli atau Gua Musang saya tidak tolak kemungkinan, mungkin saya juga akan bertanding sebab (kawasan sana) negeri Kelantan.

"Tetapi ia belum diputuskan lagi sebab kita kena bincang dalam mesyuarat. Cuma saya nak beritahu jika mahu bertanding (di PRK Jeli atau Gua Musang), kita kena ada perhitungan.

"Perhitungan ini lah yang akan membuktikan kewarasan kepimpinan kita dalam Putra. Kita tidak mahu yang dikejar tidak dapat, yang digendong tercicir,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dalam sidang media di Ibu Pejabat Putra, Titiwangsa Sentral pada Sabtu.

Pada Rabu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan Mesyuarat Khas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N43 Nenggiri, Kelantan akan diadakan pada Jumaat depan bagi membincangkan pelaksanaan pilihan raya tersebut.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, ia berikutan pihaknya telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Negeri Kelantan, Datuk Seri Amar Abdullah mengenai kekosongan luar jangka kerusi terbabit susulan penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim telah hilang keahlian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 13 Jun.

Artikel Berkaitan:

Mohd Azizi yang juga Ahli Parlimen Gua Musang antara enam Ahli Parlimen dan ADUN Bersatu yang terlucut keahliannya kerana mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Mohd Azizi bertanding atas tiket Pas dan memenangi kerusi Parlimen Gua Musang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 pada November 2022, manakala kerusi DUN Nenggiri dimenanginya pada Pilihan Raya Negeri pada Ogos 2023.

Bagaimanapun, kedudukannya dan lima yang lain sebagai Ahli Parlimen belum terungkai hingga Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul membuat keputusan mengenainya.