JDT kukuhkan cengkaman di persada liga

Heberty muncul wira apabila meledak hatrik ketika aksi berdepan Sri Pahang FC, pada Sabtu. - Foto FB Johor Southern Tigers
Heberty muncul wira apabila meledak hatrik ketika aksi berdepan Sri Pahang FC, pada Sabtu. - Foto FB Johor Southern Tigers
A
A
A

SKUAD Johor Darul Ta'zim (JDT) mengukuhkan cengkaman di puncak Liga Super apabila menewaskan Sri Pahang FC 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, petang tadi.

Bermula garang sebaik wisel permulaan, skuad Harimau Selatan tidak perlu menunggu lama untuk membuka jaringan yang terhasil menerusi tonggak import, Heberty Fernandes pada minit ke-4.

Jaringan itu nyata menyemarakkan lagi semangat kesebelasan tuan rumah untuk mengasak ke gawang pelawat dalam usaha menambah jaringan.

Peluang terbaik buat JDT menambah jaringan hadir pada minit ke-24, namun percubaan pemain kebangsaan, Arif Aiman Mohd Hanapi, sekadar melintasi pintu gol skuad Tok Gajah.

Sri Pahang turut memiliki peluang terbaik untuk menjaringkan gol penamaan, namun rembatan Kpah Suherman pada minit ke-32 berjaya ditampan penjaga gol, Syihan Hazmi.

Di penghujung perlawanan, JDT sekali lagi berpeluang menambah jaringan, namun tandukan penyerang import, Romel Morales pada minit ke-39, berjaya ditepis keluar penjaga gol Sri Pahang FC, Muhammad Zarif Irfan Hashimuddin sekali gus menyaksikan kedudukan 1-0 kekal hingga tamat babak pertama.

Babak kedua menyaksikan JDT semakin menggandakan asakan bagi menambah jaringan, namun benteng Sri Pahang FC dilihat berjaya mengekang asakan-asakan berkenaan.

Sri Pahang FC hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-65, namun rembatan penyerang import, Sergio Aguero sekadar menggegarkan jaring tepi gawang gol.

Artikel Berkaitan:

Seminit berselang, JDT berjaya menjaringkan gol kedua juga menerusi Heberty yang menyempurnakan lorongan cantik pemain gantian, Endrick Dos Santos pada minit ke-66.

Heberty melengkapkan hatrik pada minit ke-86 dengan menjaringkan gol ketiga sekali gus mengesahkan kemenangan keempat berturut-turut skuad Harimau Selatan itu.

Kemenangan itu menyaksikan JDT kekal selaku pendahulu Liga Super dengan 12 mata.

JDT - Syihan Hazmi, Matthew Davies, Jordi Amat (kapten), Nathaniel Shio Hong Wan, Francisco Geraldes, Murilo Santos, Muhamad Feroz Baharuddin, Romel Morales, Juan Muniz, Heberty Fernandes, Arif Aiman Mohd Hanapi

Sri Pahang FC - Muhammad Zarif Irfan Hashimuddin, Adam Nor Azlin, Aleksandar Cvetkovic, Kpah Sherman, Kuvondik Ruziev, Mykola Ahapov, Stefano Brundo (kapten), Muhamad Nor Azam Azih, Mohamad Azwan Mohd Aripin, Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisyam, David Rowley

Pengadil - Suhaizi Shukri

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!