Selangor keluar pekeliling guna identiti negeri sambut delegasi luar

Borhan
Borhan
A
A
A

SHAH ALAM - Selangor akan mengeluarkan pekeliling kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi di bawah kerajaan negeri untuk menggunakan identiti negeri itu menerusi makanan serta persembahan ketika menyambut delegasi dari luar.

Exco Perumahan dan Kebudayaan, Borhan Aman Shah berkata, ia antara usaha berterusan pihaknya bagi mengetengahkan identiti Selangor agar terus dikenali di samping menjana pendapatan pemain industri pelancongan kebudayaan sempena Tahun Melawat Selangor 2025.

"Kalau kita ke Pulau Pinang, sudah tentu kita akan dihidangkan dengan nasi kandar dan tarian boria kerana ia merupakan identiti negeri itu.

"Begitu juga di Selangor, kita boleh hidang makanan seperti nasi ambeng, punten dan soto manakala tarian ronggeng, cempuling dan keroncong juga boleh dipersembah,” katanya selepas sesi dialog awam bersama pertubuhan bukan kerajaan bagi seni budaya negeri di sini pada Sabtu.

Borhan berkata, turut dikenal pasti melalui pewartaan ialah wau kapal sebagai petunjuk geografi Selangor, bunga tanjung sebagai bunga rasmi negeri dan pemerkasaan Batik Selangor.

Selain itu, kerajaan negeri menerusi Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat) merancang pengembangan dan pemerkasaan tekstil serta kraf negeri iaitu songket diraja Selangor, telepuk diraja Selangor, kebaya Selangor dan kelingkan Selangor.

Beliau berkata, sesi dialog awam itu, yang dihadiri kira-kira 200 pemain industri, menjadi platform kerajaan negeri serta pemain industri bertukar pandangan di samping mencari solusi bersama untuk memajukan dan menjaga warisan dan budaya Selangor. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan: