Rasa dulu sebelum bungkus somtam

Siti Khadijah menunjukkan somtam campur yang dijual di gerainya.
Siti Khadijah menunjukkan somtam campur yang dijual di gerainya.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Peniaga somtam di tengah bandar Rantau Panjang, Siti Khadijah Abdullah mungkin tidak asing lagi dalam kalangan penggemar menu dari negara Thailand itu.

Istimewanya peniaga berusia 57 tahun itu memberi setiap pelanggannya mencuba rasa somtam yang dibuat sebelum dia membungkusnya untuk dibawa pulang atau dihidangkan di gerainya.

Menurut Siti Khadijah, 'cubaan rasa' itu bagi membolehkan hidangan yang biasanya menjadi pembuka selera itu 'kena' dengan cita rasa pelanggannya.

Siti Khadijah beri pelanggannya mencuba rasa somtam yang dibuat sebelum membungkusnya untuk dibawa pulang atau dihidangkan di gerainya.
Siti Khadijah beri pelanggannya mencuba rasa somtam yang dibuat sebelum membungkusnya untuk dibawa pulang atau dihidangkan di gerainya.

"Saya memberi pelanggan merasa sedikit kuah somtam selepas semua bahan digaul sebati bagi membolehkan mereka memilih untuk menambah perisanya.

"Biasanya ramai yang meminta saya menambah cili atau air asam limau kerana hidangan ini lebih enak dimakan pedas dan masam," katanya ketika ditemui di gerainya.

Siti Khadijah yang juga mualaf dan ibu tunggal memberitahu, somtamnya merupakan resipi asli mendiang ibunya yang dipelajari ketika berniaga bersama di bandar Chiang Rai, Thailand.

Dia yang mula belajar membuat somtam sejak kecil tidak menyangka menu itu mendapat sambutan dan digemari penduduk setempat serta pelancong.

Artikel Berkaitan:

Maskah (kiri) menjadi pelanggan tetap Siti Khadijah lebih sepuluh tahun lalu
Maskah (kiri) menjadi pelanggan tetap Siti Khadijah lebih sepuluh tahun lalu

Katanya lagi, kematian bapa sejak berusia dua tahun dan kemudian ibunya 'pergi' ketika usia 15 tahun menjadikan dia lebih berdikari.

"Saya membesarkan empat anak lebih 30 tahun lalu dengan menjual somtam dan Alhamdulillah sehingga kini ada pelanggan tetap," katanya.

Berkongsi resipi somtam ibunya, Siti Khadijah berkata, bahan utama ialah buah-buahan atau sayur-sayuran bergantung pada permintaan pelanggan.

Siti Khadijah memotong mempelam untuk dijadikan somtam.
Siti Khadijah memotong mempelam untuk dijadikan somtam.

"Paling penting dalam somtam perlu ada kacang, bawang, cili, budu khas untuk somtam dan udang kering kerana semua itu merupakan penyedap rasa," katanya.

Jelasnya lagi, mungkin ramai yang tidak tahu somtam boleh dibuat dengan semua jenis buah dan banyak sayur-sayuran boleh dicampur bersama.

"Selain betik dan mempelam, penggemar somtam biasanya tahu bahawa buah seperti anggur, epal dan yacon juga boleh dimasukkan dalam campuran somtam.

"Saya juga ada pelanggan yang merupakan pesakit kanser dan akan memilih bahan yang sesuai untuk dibuat somtam kegemarannya," katanya.

Somtam Siti Khadijah dijual pada harga RM7 untuk semua jenis buah.

Sementara itu, peniaga barang runcit, Maskah Mat Din, 52, mengakui sudah lebih 10 tahun menjadi pelanggan tetap Siti Khadijah dan memilih somtam mempelam untuk dinikmati.

Maskah yang tidak pernah membeli makanan kegemarannya itu di gerai lain kerana Siti Khadijah tidak kedekut bahan selain rasanya asli dari Thailand.

"Walaupun harganya sudah dinaikkan berbanding beberapa tahun lepas namun saya tetap memilih somtam ini kerana secukup rasa dan banyak bahan digunakan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!