Jaringan tunggal Assifuah bantu KDA FC tewaskan Penang FC

Assifuah membalas kepercayaan Nafuzi dengan menjaringkan gol kemenangan KDA FC untuk mengatasi Penang FC 1-0 di Stadium Bandaraya pada aksi Liga Super 2024-2025. FOTO KDA FC
Assifuah membalas kepercayaan Nafuzi dengan menjaringkan gol kemenangan KDA FC untuk mengatasi Penang FC 1-0 di Stadium Bandaraya pada aksi Liga Super 2024-2025. FOTO KDA FC
A
A
A

PENYERANG Kedah Darul Aman (KDA) FC, Ebenezer Assifuah menggembirakan penyokong kelab tersebut apabila membantu menewaskan Penang FC, 0-1 pada aksi derbi utara Liga Super 2024-2025 di Stadium Bandaraya pada malam Sabtu.

Pemain tersebut berjaya meletakkan Sang Kenari di hadapan pada minit ke-77 selepas kedua-dua pasukan sebelum itu berbalas serangan, namun masih buntu untuk menjaringkan gol.

Assifuah yang dibawa masuk pada minit ke-70 tidak menunggu lama untuk mencetakkan nama selaku penjaring gol selepas memanfaatkan hantaran rakan gandingannya, Syafiq Ahmad.

Percaturan dengan membawa masuk dua pemain tersebut oleh pengendali KDA FC, Nafuzi Zain dalam memberikan nafas baharu kepada jentera hadapan pasukan itu akhirnya membuahkan hasil.

Penyerang dari Ghana itu muncul penyelamat kepada KDA FC pada aksi penting tersebut untuk meraih tiga mata.

Kejayaan menewaskan jiran setempat itu berjaya membantu KDA FC mencatatkan kemenangan kedua untuk berada di tangga ke-10 Liga Super selepas empat perlawanan dengan tiga mata.

Tiga mata awal KDA FC telah dipotong akibat masalah tunggakan gaji pada musim lalu.

Kedua-dua pasukan bakal bertemu sekali lagi pada aksi timbal balik suku akhir Piala FA pada 28 Jun dan 5 Julai ini.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!