Persaingan PRK Sungai Bakap dijangka sengit

PRK DUN Sungai Bakap bakal menyaksikan satu lagi pertembungan antara PH-BN dan PN. Gambar kecil: Nur Ayuni
PRK DUN Sungai Bakap bakal menyaksikan satu lagi pertembungan antara PH-BN dan PN. Gambar kecil: Nur Ayuni
A
A
A

SHAH ALAM - Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pada 6 Julai depan dijangka menyaksikan persaingan sengit antara calon Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) kerana tiadanya calon Bebas.

Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Nur Ayuni Mohd Isa berkata, pertembungan satu lawan satu calon anak tempatan itu juga sengit kerana Sungai Bakap merupakan ‘kawasan kelabu’.

“Majoriti kemenangan Pas di kawasan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini sebanyak 1,563 undi sahaja, jadi kedua-dua parti sama ada PH atau PN mempunyai potensi cerah untuk menang.

“Peratusan pengundi Melayu di Sungai Bakap juga masih besar iaitu kira-kira 60 peratus, manakala bakinya 40 peratus adalah bukan Melayu. Jadi untuk PH menang tidak susah kerana hanya memerlukan 10 atau 11 peratus peningkatan undi. PN pun mungkin tidaklah sukar untuk kekalkan kerusi. Jadi peluang untuk menang adalah 50-50,” katanya kepada Sinar Ahad.

Menurut Nur Ayuni, PRK Sungai Bakap juga menjadi medan untuk menguji pengaruh kerajaan dan pembangkang kerana pola pengundian sejak kebelakangan ini lebih bergantung kepada parti politik dan bukan kepada calon.

“Macam kita tengok dalam PRK sebelum ini, PH letak apa sahaja calon pun mereka boleh menang dan walau Pas letak calon doktor pakar, ia masih gagal raih kemenangan.

“Maknanya sebagai kerajaan yang memerintah hari ini, PH-Barisan Nasional (BN) ada kelebihan untuk rampas kerusi Sungai Bakap ini. Kelebihannya juga dari segi bantuan yang disalurkan kepada rakyat serta manifesto yang ditawarkan apatah lagi sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri turun padang berkempen,” ujarnya.

Beliau berkata, PN pula dilihat mempunyai banyak ‘senjata’ untuk meraih sokongan pengundi terutama yang melibatkan isu-isu nasional yang disuarakan rakyat ketika ini seperti penyasaran subsidi diesel, peningkatan kos sara hidup dan isu ekonomi.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sokongan rakyat terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di utara tanah air juga akan sedikit sebanyak memberi keistimewaan kepada PN untuk memperoleh undi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!