Bunga Raya 15s perlu lebih aksi kompetitif
SKUAD ragbi negara Bunga Raya 15 sebelah (15s) sekiranya mahu pergi lebih jauh pada masa depan memerlukan lebih banyak pendedahan peringkat antarabangsa.
Itu respon pengendali skuad Bunga Raya 15s, Mohd Farid Syazwan Abu Bakar selepas pasukan negara mengakhiri cabaran Kejuaraan Ragbi Asia 2024 pada Jumaat.
"Progress pasukan positif dari satu perlawanan ke satu perlawanan positif, bermula dengan Korea Selatan, Hong Kong kemudiannya UAE, walaupun persediaan adalah singkat.
"Saya percaya pemain-pemain dapat meningkatkan tahap daya saing masing-masing dan pergi lebih jauh sekiranya dilibatkan secara berterusan dalam perlawanan pemanas badan," katanya.
Anak buah Farid Syazwan sebelum itu akur kelebihan milik Emiriah Arab Bersatu (UAE) apabila tunduk kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE), 19-62 di Stadium The Sevens, Ud al-Bayda, Dubai.
Bunga Raya 15s menyingkap kempen dengan kekalahan 5-55 kepada Korea Selatan sebelum tunduk 6-70 juara bertahan Hong Kong.
Keputusan itu menyaksikan Bunga Raya 15s mengakhiri cabaran di kedudukan terakhir dalam kalangan empat pasukan kali ini.
Mengenai perlawanan berdepan UAE, Farid Syazwan mengakui satu perlawanan yang amat mencabar buat skuad negara.
"Kita tidak hanya berdepan susuk tubuh pasukan UAE, tetapi juga cabaran beraksi dalam keadaan cuaca panas.
"Situasi ini juga menyaksikan pemain-pemain berdepan kekejangan mungkin faktor bermain pada malam hari," katanya.
Bagaimanapun beliau memuji kesunggahan yang ditampilkan pemain-pemain dalam perlawanan tersebut.
"Pemain-pemain memberikan segala kudrat masing-masing ketika bermain dalam keadaan perlawanan ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!