Prestasi ringgit tahun ini bertambah baik
SHAH ALAM - Tindakan diselaraskan oleh kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menggalakkan aliran masuk yang lebih konsisten dalam pasaran kewangan domestik telah memberi kesan positif terhadap prestasi ringgit pada tahun ini.
Pakar ekonomi dari Putra Business School (PBS), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, sehingga 20 Jun lalu, ringgit telah meningkat 1.4 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Menurutnya, ia satu-satunya mata wang di rantau ini yang meningkat sejak 26 Februari lalu namun kadar pertukaran ringgit pada masa ini tidak menggambarkan asas ekonomi dan prospek pertumbuhan Malaysia.
“Pembaharuan struktur akan memberikan sokongan yang lebih berkekalan terhadap ringgit dalam jangka panjang dan dijangka meningkatkan kedudukan negara dalam Ranking Daya Saing Global (WCR) 2025.
“Sebagai contoh, tindakan kerajaan mengenai pelan penyatuan fiskal jangka sederhana akan memastikan kemampanan fiskal dan menambah baik pengagihan semula sumber kepada sektor ekonomi yang lebih produktif.
“Ini seterusnya akan meningkatkan keyakinan pelabur dan menarik aliran masuk. Asas fiskal yang lebih baik juga akan menyokong penilaian yang dijalankan oleh agensi penarafan kredit,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, antara punca kemerosotan Malaysia dalam WCR 2024 oleh Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD) kerana ringgit yang lemah dan kegagalan melaksanakan subsidi bersasar.
Mengulas lanjut, Ahmed Razman berkata, pelaksanaan penyasaran subsidi diesel menunjukkan pembaharuan struktur yang akan mengurangkan hutang negara dan menjadikan perbelanjaan fiskal lebih bersasar serta berkesan.
“Berlatarbelakangkan tahap inflasi rendah, kesan rasionalisasi subsidi diesel ke atas harga barangan dan perkhidmatan lain dapat dikurangkan dengan kewaspadaan kerajaan terhadap pencatutan di bawah Ops Kesan 2.0.
“Dalam jangka panjang, pembaharuan struktur ini akan memberikan sokongan yang lebih berkekalan terhadap prospek ekonomi dan ringgit kita.
“Pembaharuan secara berterusan ini akan meletakkan asas bagi Malaysia yang berdaya tahan dan meningkatkan ranking dalam WCR,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!