Cuepacs gesa Influenza A disenarai penyakit berjangkit
PUTRAJAYA - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan menimbangkan penyakit Influenza A dimasukkan ke dalam senarai penyakit berjangkit.
Presidennya, Adnan Mat berkata, ia bagi membolehkan pegawai dan kakitangan terlibat mendapat kemudahan cuti bagi prosedur kuarantin.
"Memandangkan penyakit Influenza A merupakan penyakit yang mudah berjangkit terutama dalam kalangan kanak kanak, kami mencadangkan agar penyakit ini dimasukkan sebagai penyakit berjangkit yang membolehkan pegawai terlibat diberi cuti kuarantin," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Influenza cepat merebak, boleh bawa maut
Menurutnya, berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 11 Tahun 2016, kemudahan cuti kuarantin diberikan kepada pegawai dan kakitangan awam selepas perakuan disahkan oleh pegawai perubatan.
Setakat ini penyakit berjangkit yang disenaraikan adalah penyakit kuku, kaki dan mulut (HFMD), denggi, campak, 'chickenpox' (cacar), difteria dan malaria.
Sebelum itu, wabak Influenza A dilaporkan mula merebak ke seluruh negara sejak Disember lalu dengan menyaksikan beberapa sekolah terpaksa ditutup bagaimanapun setakat ini situasinya masih terkawal.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!