Bantu pertumbuhan ekonomi Malaysia

Mengikut data daripada Tourism Malaysia, lebih 1.5 juta pelancong China melawat Malaysia pada tahun ini.
Mengikut data daripada Tourism Malaysia, lebih 1.5 juta pelancong China melawat Malaysia pada tahun ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Kehadiran pelancong China ke negara ini membantu pertumbuhan ekonomi terutama sektor pelancongan menerusi pembelian barangan mewah, pakaian dan cendera mata.

Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Nigel Wong berkata, dianggarkan secara purata pelancong China berbelanja sekitar RM5,000 hingga RM7,000 setiap orang sepanjang lawatan mereka ke Malaysia.

Nigel
Nigel

“Ia termasuk perbelanjaan untuk penginapan, makanan, aktiviti dan membeli-belah. Dengan jumlah pelancong yang tinggi, impak ekonomi terhadap Malaysia adalah signifikan sekali gus memberi manfaat kepada sektor pelancongan dan perniagaan tempatan.

“Mereka membelanjakan wang untuk penginapan, kebanyakannya di hotel bertaraf lima bintang dan resort mewah. Selain itu, mereka gemar mencuba pelbagai jenis juadah tempatan di restoran berprestij serta menceburi aktiviti rekreasi,” katanya kepada Sinar Ahad.

Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan Malaysia dan China menyokong usaha berterusan berhubung pengecualian visa bagi memupuk hubungan persahabatan.

Dalam kenyataan bersama antara dua negara, China bersetuju untuk melanjutkan kemudahan itu sehingga akhir 2025 dan sebagai balasan, Malaysia akan melanjutkan pengecualian visa sehingga akhir 2026.

Menurut kenyataan bersama itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri China, Li Qiang mengalu-alukan minat yang mendalam untuk meneruskan perundingan dan perbincangan mengenai pengecualian visa bersama bagi memudahkan kemasukan rakyat Malaysia dan China.

Artikel Berkaitan:

Kenyataan Bersama itu turut menyatakan bahawa kedua-dua pihak bersetuju untuk meningkatkan kerjasama pendidikan ke tahap baharu, mengukuhkan kerjasama dalam pendidikan vokasional, penyelidikan saintifik bersama dan pendidikan digital.

Mengulas lanjut, Nigel berkata, sejak Januari lalu, jumlah pelancong China ke Malaysia telah meningkat dengan ketara.

Katanya, mengikut data yang diperoleh daripada Tourism Malaysia, lebih 1.5 juta pelancong China melawat Malaysia dalam tempoh tersebut.

“Peningkatan ini menunjukkan permintaan yang semakin tinggi dari warga China untuk melawat negara ini.“Destinasi utama pilihan mereka termasuk Kuala Lumpur, Pulau Langkawi, Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak,” jelasnya.

Sehubungan itu, pihaknya menyokong penuh pelanjutan pengecualian visa antara Malaysia dan China sebagai usaha meningkatkan hubungan bilateral dan pertumbuhan ekonomi sektor pelancongan.

Ujarnya, ia merupakan langkah positif yang dapat memperkukuhkan hubungan persahabatan dan kerjasama antara kedua-dua negara.

“Pelanjutan ini menunjukkan komitmen dua negara untuk memudahkan pergerakan rakyat yang akan membawa manfaat jangka panjang kepada kedua-dua pihak.

“Langkah ini juga dijangka merangsang sektor pelancongan, meningkatkan ekonomi dan mengukuhkan hubungan sosial serta kebudayaan,” tambahnya.