Lonjakan positif sektor pelancongan di Pahang
KUANTAN - Pahang dijangka mengalami lonjakan besar kehadiran pelancong apabila Malaysia dan China melaksanakan pengecualian visa bertujuan memperkukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Leong Yu Man berkata, kerjasama itu bukan sahaja meningkatkan jumlah pelancong China tetapi dapat memberi impak positif kepada sektor pelancongan dan ekonomi negeri.
Menurutnya, pelancongan China antara penyumbang tertinggi statistik kehadiran pelancong dari luar negara ke Pahang tahun lalu.
“Jadi kita yakin lanjutan pengecualian visa ini dapat meningkatkan kedatangan pelancong China ke Pahang dalam tempoh dua tahun. Malah pelancong dari negara lain juga dialu-alukan ke negeri ini.
“Kita ada kelebihan yang menjadi tumpuan pelancong. Selain ada Genting Highlands, negeri ini juga mempunyai pantai dan pulau yang cantik sekaligus menjadi daya tarikan kepada mereka,” katanya.
Mengikut statistik bagi tahun 2023, angka tertinggi kemasukan pelancong antarabangsa ke Pahang direkodkan daripada tiga negara iaitu Singapura (1.04 juta), China (213,671) dan Indonesia (211,671).
Yu Man berkata, terdapat beberapa segmen dalam sektor pelancongan ini termasuk persatuan agensi pelancongan, kehadiran pelancong dalam kumpulan kecil atau besar, serta program berbentuk mesyuarat, inisiatif, persidangan dan pameran yang mampu menarik kedatangan pelancong.
Jelasnya, inisiatif ini juga dilihat sebagai peluang untuk mempromosikan budaya dan tarikan tempatan Pahang, baik kepada pelancong domestik mahupun antarabangsa.
“Kita pasti akan memanfaatkan peluang ini sebaik mungkin,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!