Lagu 'Marilah Mengundi' diberi nafas baharu
PENYANYI veteran era 1960-an, Rocky Din teruja apabila lagu sensasi dendangannya, 'Marilah Mengundi' akan diberi nafas baharu dan dirakam semula sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap.
Permintaan itu dibuat Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil ketika bertemu penyanyi itu atau nama sebenarnya Mohd Hashim Shariff dalam program Ziarah Kasih@HAWANA dan Ziarah Seni Madani FINAS di Seberang Jaya di sini, pada Sabtu.
Fahmi berkata, lagu yang dianggap 'legend' itu perlu diberi nafas baharu agar generasi muda dan para pengundi dapat menghayati dan menerima mesej yang disampai menerusi lagu istimewa dan sering diputarkan pada musim pilihan raya.
"Untuk tujuan itu, kita akan minta RTM untuk menjemput beliau (Rocky Din) dan merakam semula lagu ikonik nyanyiannya yang telah dirakam pada 1977.
"Harapan saya generasi baharu, para pengundi dan anak-anak muda akan dapat mendengar olahan baharu lagu ini agar ia terus menjadi halwa telinga dan pencetus kepada orang ramai untuk keluar mengundi bagi menunaikan kewajipan mereka," katanya ketika ditemui pemberita di sini, pada petang Sabtu.
Terdahulu, Fahmi menyampaikan sumbangan bantuan kepada penyanyi veteran berkenaan dan sumbangan tabung kasih@HAWANA kepada tiga petugas media Pulau Pinang.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama, Arul Rajoo Durar Raj.
Sementara itu, Rocky Din yang sebelum ini pernah diserang strok empat tahun lalu berkata, keadaan kesihatannya bertambah baik meskipun terpaksa berkerusi roda untuk bergerak.
Beliau yang kini berusia 75 tahun menyatakan masih mampu meneruskan kariernya sebagai penyanyi malah akan menghiburkan orang ramai pada setiap hujung minggu di sebuah restoran di Batu Maung.
"Alhamdulillah, dengan kesihatan yang semakin baik saya masih boleh meneruskan aktiviti seni dan menyanyi menghiburkan orang ramai pada setiap Jumaat hingga Ahad di Restoran PanMutiara.
"Terima kasih kepada menteri yang masih ingat dan hargai lagu saya, pastinya saya gembira bila lagu Marilah Mengundi kekal menjadi 'evergreen' setiap kali menjelan pilihan raya," katanya.
Lagu Marilah Mengundi nyanyian Rocky Din mula diputarkan sejak 1978 menjelang pilihan raya umum (PRU) dan masih popular sehingga kini.
Beliau juga pernah turut popular dengan lagu Cintaku Cintamu, Aku Tetap Menanti selain pernah menghasilkan album untuk penyanyi popular seperti Allahyarham Datuk Sharifah Aini dan Hang Mokhtar.
Rocky Din juga pernah menerima anugerah Tokoh Kesenian sempena Sambutan Maal Hijrah anjuran Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG) pada 2017.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!