Bidoglio gembira kemenangan JDT

Bidoglio
Bidoglio
A
A
A

BIARPUN beraksi tanpa beberapa tonggak utama, pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio nyata gembira dengan kemenangan 3-0 pada aksi Liga Super berdepan Sri Pahang FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, pada Sabtu.

Menurut Bidoglio, kesebelasan pemain yang diturunkan pada aksi berkenaan telah mempamerkan aksi terbaik hingga berjaya memberikan tekanan kepada pelawat sepanjang tempoh 90 minit perlawanan.

“Malam ini kesemua pemain telah beraksi mantap apabila dilihat kerap mengasak ke gawang lawan pada babak pertama.

“Babak kedua pula menyaksikan aksi yang lebih baik dipamerkan pemain bagi menjamin kemenangan pasukan.

“Secara keseluruhannya, kesemua pemain telah beraksi sebagai satu pasukan bagi merealisasikan kemenangan,” katanya.

Kesebelasan JDT. Foto Facebook Johor Southern Tigers
Kesebelasan JDT. Foto Facebook Johor Southern Tigers

Pada perlawanan tersebut, pemain import JDT, Heberty Fernandes muncul wira apabila meledak hatrik pada minit ke-4, 66 dan 87 bagi memastikan kemenangan pasukan.

Kemenangan itu menyaksikan skuad Harimau Selatan itu terus mengungguli takhta Liga Super dengan 12 mata hasil empat kemenangan berturut-turut setakat ini.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai ketiadaan duo serangan, Fernando Forestieri dan Bergson Da Silva, Bidoglio berkata, kedua-dua pemain berkenaan masih belum cukup cergas untuk beraksi.

Justeru katanya, beberapa rombakan dibuat bagi mengharungi aksi penting berdepan skuad Tok Gajah itu dalam usaha menjamin kejayaan.

“Forestieri dan Bergson belum cukup bersedia untuk diturunkan dan kami memberikan peluang kepada pemain-pemain lain untuk beraksi pada perlawanan penting ini.

“Kami percayakan pemain kami dan mereka telah membalas kepercayaan itu dengan menghasilkan kemenangan,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!