Penunggang motosikal maut dirempuh Ford Ranger
KLANG - Seorang penunggang motosikal maut selepas dirempuh sebuah trak pikap jenis Ford Ranger dalam kejadian di Jalan Kebun dari arah Bulatan Jalan Kebun menghala ke jejambat KESAS di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7.20 pagi, mangsa, Muhammad Zulfakkar Borhan, 29, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Nouvo LC disahkan maut di lokasi kejadian.
"Siasatan polis mendapati, kejadian dipercayai berlaku semasa Ford Ranger yang dipandu lelaki berusia 37 tahun itu memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar dua buah motosikal termasuk yang ditunggang mangsa.
"Kemalangan itu juga menyebabkan dua lagi mangsa berusia 27 tahun yang menaiki motosikal jenis Honda EX5 mengalami kecederaan parah," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Menurutnya, mangsa yang parah kini dirawat di zon kuning dan merah Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.
Katanya, pemandu Ford Ranger pula akan direman bagi membantu siasatan polis.
Mengenai dakwaan pemandu terbabit mabuk, Shamsul Amar berkata, saringan awal kandungan alkohol dalam darah melalui ujian pernafasan menunjukkan di tahap kawalan yang dibenarkan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Katanya, orang ramai diingatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi bagi mengelakkan gangguan dalam siasatan dan lain-lain perkara yang negatif.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!