PRN17: KDM hasrat tanding di semua kerusi DUN majoriti pengundi KDM

Peter Anthony
Peter Anthony
A
A
A

KOTA MARUDU - Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) menyatakan hasrat untuk bertanding di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang majoriti pengundinya dari masyarakat Kadazandusun dan Murut (KDM) pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Presidennya, Datuk Peter Anthony berkata, KDM juga akan meletakkan calon di semua kerusi DUN dalam Parlimen Kota Marudu yang diwakili Timbalan Presidennya, Datuk Wetrom Bahanda.

Katanya, PRN17 boleh diadakan pada bila-bila masa dari sekarang dan atas sebab itu KDM perlu memulakan langkah untuk menghadapi pilihan raya berkenaan.

"Parti lain sudah mula bergerak, kita yang belum bergerak dan pada hari ini. Saya ingin umumkan KDM akan bertanding di semua kerusi DUN di kawasan Parlimen Kota Marudu dan kita juga akan bertanding di semua kerusi KDM di Sabah," katanya ketika berucap pada Majlis Karamazan Kokotuan anjuran KDM di Matunggong pada Sabtu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap turut membayangkan hasrat KDM untuk bertanding di DUN yang mempunyai pengundi campuran seperti di DUN Pitas dan Pintasan.

Beliau berkata, ahli parti bermula di peringkat akar umbi perlu bersama-sama memantapkan persediaan menghadapi PRN bagi memastikan kemenangan semua calon yang bertanding atas tiket KDM nanti.

"Rakyat Sabah mesti berani melakukan perubahan memandangkan kerajaan sedia ada masih 'lemah' dalam menangani pelbagai isu rakyat, termasuk masalah air, elektrik, jalan raya dan ekonomi," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!