Pas tidak akan sertai kerajaan PH-BN: Tuan Ibrahim

Tuan Ibrahim
Tuan Ibrahim
A
A
A

SUNGAI BAKAP - [DIKEMAS KINI] Pas menegaskan pendirian parti itu bahawa tidak mempunyai sebarang keinginan untuk menyertai kerajaan Pakatan Harapan (PH) - Barisan Nasional (BN) sebagaimana dakwaan yang tular ketika ini.

Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tiada sebab wujudnya perbincangan antara parti itu dengan Kerajaan Perpaduan sedangkan mereka tetap dengan pendirian bahawa tidak akan bersama mendukung kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Hari ini sedang viral berita kononnya Pas sedang berunding untuk menyertai kerajaan perpaduan... poodah! Saya nak buat penegasan bahawa Pas tidak akan menyertai kerajaan PH-BN.

“Tidak ada sebarang perundingan, tidak ada sebarang perbincangan, mesyuarat dalaman parti atau bersama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika Ceramah Perdana Perikatan Nasional (PN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap di sini pada Sabtu.

Beliau pada masa sama turut membidas tindakan pimpinan UMNO yang telahpun bertindak membelakangkan pendirian parti semata-mata mahu bersama Anwar.

“Tiada sebab kita nak dukung macam UMNO, waktu kempen pada rakyat 'No DAP! No Anwar! wallahi, wabillahi, bersumpah.

“Selepas pilihan raya apa yang berlaku? Dia jilat, langgar balik sumpah dia, waktu kempen PH serang UMNO..hoi hoi yahoi, macam-macam serangan dibuat, rakyat percaya UMNO takkan sokong Anwar dan DAP, rakan-rakan UMNO bagi undi pada UMNO, tiba-tiba selepas pilihan raya dia langgar keputusan parti dia,"jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim turut mengulangi pendirian bahawa Pas tetap berpegang pada janji tidak sama sekali akan bekerjasama dengan Anwar dan DAP biarpun dikenakan pelbagai tekanan.

"Kita janji dengan rakyat 'No Anwar! No DAP! Kita akan pegang janji sehingga pilihan raya akan datang insya-ALLAH walaupun peruntukan tak dapat,” jelasnya.

Sebelum ini, media melaporkan kenyataan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil bahawasanya terdapat banyak perbincangan mengenai desas-desus mengaitkan gabungan antara pembangkang dan Kerajaan Perpaduan.

"Banyak perbincangan," jelasnya ketika ditanya media, namun enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!