KDA FC mula kejar kelompok atasan Liga Super

Assifuah menjaringkan gol kemenangan buat KDA FC menewaskan Penang FC 0-1 pada aksi Liga Super 2024-2025 di Stadium Bandaraya, malam Sabtu. Foto: MFL, gambar kecil: Nafuzi Zain
Assifuah menjaringkan gol kemenangan buat KDA FC menewaskan Penang FC 0-1 pada aksi Liga Super 2024-2025 di Stadium Bandaraya, malam Sabtu. Foto: MFL, gambar kecil: Nafuzi Zain
A
A
A

KEJAYAAN Kedah Darul Aman (KDA) FC menewaskan Penang FC 0-1 pada aksi derbi utara Liga Super 2024-2025 membantu Sang Kenari meraih tiga mata pertama bagi mengejar serta merapatkan jurang kedudukan dengan pasukan di kelompok teratas liga.

Pengendalinya, Nafuzi Zain mengakui kemenangan tersebut memberikan kegembiraan kepada semua pemainnya yang jelas sebelum ini dibelenggu dengan beberapa masalah di luar padang.

“Kemenangan mendapatkan tiga mata ini berjaya membantu KDA FC untuk merapatkan jurang dengan pasukan besar lain di dalam Liga Super.

“Jika kita masih lagi kosong mata (selepas empat perlawanan), maka kita akan susah untuk bersaing dengan pasukan lain,” katanya selepas perlawanan tamat di Stadium Bandaraya pada malam Sabtu.

Jelas Nafuzi, kemasukan lewat dua tonggak iaitu Ebenezer Assifuah dan Syafiq Ahmad pada minit ke-70 perlawanan merupakan taktikal pasukan tersebut kerana melihat motivasi Penang FC berada pada tahap baik.

Keputusan untuk membawa masuk dua pemain tersebut membuahkan hasil apabila Assifuah menjaringkan gol menarik selepas tenang memanfaatkan hantaran Syafiq pada minit ke-77.

“Kita sebelum ini sudah beberapa kali bermain dengan Penang FC dan tahu cara mereka bermain. Usaha untuk mendapatkan gol pada perlawanan ini memang bukan senang.

“Corak permainan pada masa separuh masa pertama dan kedua juga berbeza. Pada separuh masa kedua, pemain kita mula terikut-ikut corak permainan lawan dan mungkin disebabkan oleh faktor keletihan sebelum kita memutuskan untuk membawa masuk Assifuah dan Syafiq,”ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tambah ketua jurulatih itu, Assifuah akan diletakkan dalam kesebelasan utama apabila tiba pada masanya kerana melihat pemain itu masih memerlukan tempoh untuk meningkatkan kecergasan dan keyakinan bersama pasukan.

Kejayaan menewaskan jiran setempat itu berjaya membantu KDA FC mencatatkan kemenangan kedua untuk berada di tangga ke-10 liga super selepas empat perlawanan dengan tiga mata.

Tiga mata awal KDA FC telah dipotong akibat masalah tunggakan gaji pada musim lalu.

Kedua-dua pasukan bakal bertemu sekali lagi pada aksi timbal balik suku akhir Piala FA pada 28 Jun dan 5 Julai ini

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!