Kelulusan serta-merta permohonan lengkap pengangkutan layak SKDS

Foto hiasan. Gambar kecil: Armizan
Foto hiasan. Gambar kecil: Armizan
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memberikan kelulusan serta-merta bagi permohonan lengkap Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) yang meliputi 33 jenis pengangkutan darat awam dan barangan.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, susulan itu syarikat yang berkenaan disarankan untuk segera membuat permohonan tersebut bagi memudahkan mereka mendapatkan fleet card.

Katanya, proses permohonan adalah mudah dan cepat kerana syarikat hanya perlu mengisi maklumat terhad dan pengesahan boleh dibuat segera melalui integrasi dengan sistem Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

"Permohonan tersebut boleh dibuat melalui pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my/ dan surat kelulusan akan dikeluarkan serta-merta untuk membolehkan syarikat pengangkutan yang berjaya terus membuat permohonan fleet card kepada syarikat-syarikat minyak pilihan melalui sistem sama.

"Kelulusan yang diperoleh sehingga 30 Jun 2024 membolehkan syarikat pengangkutan memohon bayaran tuntutan balik kadar perbelanjaan atas harga subsidi melalui bukti resit pembelian sehingga syarikat pengangkutan menerima fleet card daripada syarikat-syarikat minyak pilihan," ujarnya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Dalam masa sama, KPDN ingin mengingatkan semua syarikat agar tidak menyalahgunakan fleet card bagi tujuan selain daripada syarat kelayakan permohonan kenderaan yang telah diluluskan.

Jelas beliau, tindakan tegas akan diambil termasuk menarik balik kelulusan fleet card kenderaan terbabit jika kemudahan itu disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Setakat jam 8 pagi hari ini jumlah keseluruhan kenderaan pengangkutan awam dan barangan yang diluluskan subsidi diesel di bawah SKDS ialah sebanyak 226,957 melibatkan 75,541 syarikat.

Artikel Berkaitan:

"KPDN juga sedang menyelaraskan rayuan-rayuan sektor pengangkutan tertentu yang ingin menyertai SKDS untuk dibawa kepada Jawatankuasa Rayuan yang melibatkan pelbagai kementerian dan agensi dan seterusnya diangkat untuk pertimbangan Mesyuarat Jemaah Menteri",ujarnya.

Kementerian turut menegaskan agar semua peniaga terutama mereka yang menerima kemudahan subsidi diesel melalui fleet card tidak menaikkan harga dengan memberikan alasan penetapan harga diesel baharu sebagai punca kenaikan harga barangan atau perkhidmatan mereka.

Tambah Armizan, KPDN telah menggerakkan semua kekuatan anggota penguat kuasa dan pegawai pemantau harga di seluruh negara untuk terus memantau harga barang atau perkhidmatan di semua peringkat rantaian.

"Sekiranya didapati berlaku aktiviti pencatutan,maka KPDN akanmengambil tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011,"katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!