[VIDEO] 'Pemimpin tidak berilmu boleh sesatkan orang lain' - Joohari

A
A
A

SUNGAI BAKAP - Calon Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin tidak mahu mendabik dada dengan kelayakan akedemik yang dimilikinya meskipun pihak lawan menafikan faktor itu bukanlah pengukur kelayakan bagi menjadikan seseorang pemimpin politik cemerlang pada masa hadapan.

Bekas guru dan pemegang ijazah kedoktoran (PhD) Universiti Sains Malaysia (USM) itu berpandangan, seseorang pemimpin politik yang cemerlang bukan hanya memerlukan karektor yang baik semata-mata namun perlu juga memiliki ilmu pengetahuan.

Katanya, elemen itu penting kerana jika seseorang pemimpin itu tidak mempunyai ilmu dikhuatiri dia mampu menyesatkan orang lain.

"Di antara ciri-ciri seorang pemimpin, antara perkara yang penting adalah ilmu.

"Bila karakter sudah ada perkara seterusnya adalah ilmu, kalau dia tidak ada ilmu dia boleh menyesatkan orang sebab itu pada saya, manusia ni bukannya bodoh tetapi dia jahil dan kita kena ajar dia sampai jadi pandai," katanya pada sidang akhbar selepas menyantuni pengalam media di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Sungai Bakap di sini, pada Ahad.

Joohari (dua dari kiri) ketika menyantuni petugas media di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Sungai Bakap pada Ahad.
Joohari (dua dari kiri) ketika menyantuni petugas media di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Sungai Bakap pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada Sabtu yang mendakwa kelayakan akademik tidak boleh dijadikan pengukur kelayakan bagi menjadikan seseorang pemimpin politik cemerlang pada masa hadapan.

Muhammad Sanusi sebelum ini berkata, ramai pemimpin politik di negara ini yang tidak mempunyai kelayakan akademik tinggi, namun mampu menggalas tugas dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Artikel Berkaitan:

Malah Menteri Besar Kedah itu berkata, terdapat pelbagai faktor lain melayakkan seseorang menjadi pemimpin politik yang berkesan.

Sebelum ini kelayakan akedemik calon Perikatan Nasional, Abidin Ismail dipersoal banyak pihak berikutan kelulusannya tidak dipamerkan pada poster calon berbanding calon Pakatan Harapan,Joohari Ariffin yang memiliki kelayakan PhD.

Mengulas lanjut, Joohari berkata, latar belakangnya sebagai seorang guru memberi kelebihan kepadanya berikutan profesion itu antara yang dipercayai oleh masyarakat di seluruh dunia.

"Guru adalah kerjaya yang kedua selepas doktor dan dipercayai oleh orang ramai seluruh dunia. Jadi bila orang dah percaya, jangan tipu orang dan ahli politik juga begitu.

"Saya yakin pengundi di Sungai Bakap dapat membuat penilaian yang terbaik bagi memilih wakil rakyat mereka nanti," tambahnya lagi.

*Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap di sini!.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!