Rasuah: Institut memandu berdepan pembatalan lesen

Anthony Loke ketika melihat sistem eTesting yang dipasang pada sebuah kenderaan di imstitut memandu berkenaan.
Anthony Loke ketika melihat sistem eTesting yang dipasang pada sebuah kenderaan di imstitut memandu berkenaan.
A
A
A

SEREMBAN - Institut memandu yang dikesan terlibat dalam gelaja rasuah pengujian memandu termasuk sindiket lesen terbang atau lesen 'kopi o' berdepan tindakan pembatalan permit pengoperasian.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, ia merupakan peringatan berterusan kepada pihak berkenaan sekali gus dapat meningkatkan integriti proses penilaian sesuai dengan pelaksanaan Sistem Latihan dan Pengujian Memandu Secara Elektronik (eTesting).

"Kita bersungguh-sungguh untuk melaksanakan sistem eTesting supaya dapat memastikan satu sistem lebih berintegriti dan memang gejala lesen kopi o atau lesen terbang dah lama kita dengar, tapi saya lihat ada perkembangan positif, amat kurang.

"Bagaimanapun, tidak dapat dinafikan mungkin ada lagi sindiket-sindiket yang cuba mengambil kesempatan dan kita akan banterasnya bersungguh-sungguh," katanya.

Anthony Loke ketika merasmikan kenderaan yang dipasang eTesting.
Anthony Loke ketika merasmikan kenderaan yang dipasang eTesting.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai majlis sambutan ulang tahun ke-10 RDS Driving Academy Sdn Bhd & Projek L 'OA' serta perasmian bilik ujian KPP01 dan sistem eTesting dekat sini pada Ahad.

Media sebelum ini melaporkan,Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia memperkenalkan eTesting bermula April lalu.

Pelaksanaan sistem itu akan membolehkan calon menjalani ujian tanpa pegawai JPJ di dalam kenderaan manakala prestasi calon diukur menggunakan alat pengesan dan kamera.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Anthony mengingatkan orang ramai bahawa mana-mana pihak yang cuba mengiklankan dalam media sosial dengan menawarkan sesuatu bayaran tanpa melalui proses pengujian ia merupakan sindiket penipuan.

"Scammer ini kadang-kadang bukan melibatkan institut memandu...jangan biarkan diri ditipu. Mana ada sistem yang boleh terus dapat lesen tanpa melalui proses pengujian itu betul-betul penipuan besar.

"Kegiatan rasuah dalam industri pengujian pemanduan perlu dihapuskan kerana tindakan tersebut akan membahayakan nyawa pengguna jalan raya terutamanya golongan muda,"katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya menerima banyak permohonan daripada institut memandu berhubung pelaksanaan eTesting sejak ia diperkenalkan.

"Kumpulan pertama akan mendapat surat (kelulusan) tidak lama lagi.Saya difahamkan JPJ telah proses permohonan mereka, selepas itu mereka boleh memulakan pengambilan pelajar menggunakan sistem eTesting,"katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!