Perak pergiat promosi tarik pelancong China
BATU GAJAH - Kerajaan Perak mempergiatkan usaha meningkatkan kehadiran pelancong ke negeri itu selepas Malaysia dan China melaksanakan pengecualian visa dalam memperkukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Loh Sze Yee berkata, peluang itu dimanfaatkan sepenuhnya bagi meransang lagi Tahun Melawat Perak 2024.
Menurut beliau, usaha telah digerakkan dengan mengadakan pertemuan dua hala dengan pemain industri pelancongan negara itu.
"Usaha kedua-dua negara itu memberi peluang kepada kerajaan negeri untuk bekerjasama rapat dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Tourism China.
"Tiga minggu lalu, kita pulang daripada Pameran Pelancongan Antarabangsa (ITB) Shanghai yang mana kita menemui dan mengadakan perbincangan dengan pemain-pemain industri di negara itu," katanya ketika ditemui selepas merasmikan pembukaan fasa ketiga Taman Didik Hibur Dinosaur: Encounter World di Silverlake Outlet Batu Gajah di sini pada Ahad.
Ketua Pegawai Eksekutif WeGrow Global Sdn Bhd, Datuk Yong Lam Woei dan Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa.
Sze Yee berkata, langkah seterusnya akan dilanjutkan dengan Tourism Malaysia mengadakan lawatan ke wilayah lain di China dalam masa terdekat.
Pada majlis itu, Sze Yee berkata, pembukaan fasa tiga taman didik hibur itu menyasarkan lebih 200,000 pengunjung akan hadir sehingga hujung tahun ini.
"5D Immersive Track Motion Ride pertama di Perak menjadi tarikan terhadap industri pelancongan pendidikan baharu.
"Fasa pertama yang dilancarkan pada 15 Disember 2023 menyaksikan rekod kemasukan sebanyak 50,000 pengunjung dari pelbagai negeri selain merekodkan sejumlah besar pengunjung dari luar negara," katanya.
Pada masa sama, 1,000 tiket masuk ke Taman Didik Hibur Dinosaur: Encounter World akan diberikan secara percuma kepada pengunjung pada Ahad.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!