Lima beradik sepakat daki gunung bersama
SHAH ALAM - Mempunyai minat yang sama dalam aktiviti lasak mendorong lima beradik dari Negeri Sembilan ini menawan Gujung Korbu dan Gujung Gayong (Korga) di Ipoh Perak dalam ekspedisi pendakian yang bermula 1 hingga 3 Jun lalu.
Menerusi perkongsian di akaun TikTok, Noor Atikah Anuar,24, memuat naik beberapa keping gambar yang mendapat 16,300 tontonan menceritakan pengalaman mereka selama tiga hari dua malam menawan dua gunung berkenaan yang kedudukannya terletak bersebelahan antara satu sama lain.
Noor Atikah berkata, adik beradiknya memang mengemari aktiviti sukan lasak dan pernah terlibat dalam ekspedisi mendaki Gunung Kinabalu, Gunung Angsi dan beberapa gunung lain di Semenanjung sebelum ini.
“Kami ada 10 beradik memang suka aktiviti lasak, lazimnya kami akan rancang untuk memastikan setiap ekspedisi boleh dapat penglibatan semua,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Difahamkan adik beradik Noor Atikah yang teribat dalam ekspedisi kali ini ialah Noor Faariha Anuar, 26; Noor Azira Zulkafli, 40; Muhd Aizat Anuar, 23 dan Mohd Imran Hakim Anuar, 21
Menurutnya, dalam ekspedisi Korga mereka telah membuat persediaan dari segi mental dan fizikal kerana untuk sampai ke puncak Gunung Gayong dan Gunung Korbu yang masing -masing mempunyai ketinggian 2,173 dan 2,183 meter.
Ini kerana puncaknya bersebelahan dan mengambil masa cuma dua hingga tiga jam sahaja merentasi Korbu ke Gayong.
Malah kedua-dua gunung terbabit merupakan keempat dan ketujuh tertinggi di Malaysia
“Kami perlu membuat persiapan rapi termasuk memohon permit dan mendapat khidmat penunjuk arah bagi memastikan ekpedisi mengikut masa dan tidak tersasar.
“Hujan yang turun sepanjang ekspedisi pendakian juga menyebabkan kami perlu berhati-hati dengan keadaan permukaan tanah yang licin,” katanya
Jelasnya, momen paling menyeronokkan ialah mereka bergotong-royong memasak bekalan makanan yang dibawa sambil menghayati pemandangan yang indah.
“Kami bawa makanan yang ringkas dan mudah disediakan seperti daging dendeng dan makanan segera.
"Mudah sebenanarnya untuk dapatkan bekalan air bersih kerana kami memasak menggunakan sumber air mata air yang wujud di gunung berkenaan,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!