Pembangunan semula KSSA: Kerajaan Selangor diminta jelas butiran tiga plot tanah

Stadium Shah Alam. Gambar kecil: Abdul Razak Ismail
Stadium Shah Alam. Gambar kecil: Abdul Razak Ismail
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor digesa menjelaskan mengapa tiga plot hak milik tanah dikeluarkan Pejabat Daerah dan Tanah Petaling kepada Menteri Besar Incorporated (MBI) pada 07 Mei 2024.

Setiausaha Penaja Parti Hijau Malaysia (PHM), Abdul Razak Ismail dalam satu kenyataan ingin tahu mengenai butiran plot 1, HSD 326705 (PT 2636) -1.4658 hektar, plot 2, HSD 326706 (PT2637) - 4.0652 hektar dan plot 3, HSD 326707 (PT2635) - 63.3535 hektar.

Menurutnya, kerajaan Selangor wajar memaklumkan tujuan pemberian hak milik tanah tersebut kerana PHM berpandangan adalah sangat jarang bangunan-bangunan milik kerajaan diberikan hak milik tanah.

"Persoalan PHM adakah kerajaan negeri merancang menjual plot-plot tanah tersebut pada masa akan datang dan kepada siapa?

"PHM juga ingin menarik perhatian kepada isu di mana pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menegaskan bahawa kerja-kerja perobohan stadium tidak dapat dilaksanakan kerana pihak pemaju masih belum menghantar pelan pembangunan penuh projek secara rasmi kepada pihak MBSA," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Pada 6 Jun lalu, Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim dilaporkan berkata, proses perobohan Stadium Shah Alam bagi pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) yang baharu belum dapat dilaksanakan.

Jelasnya, ini berikutan syarikat pemaju belum menyerahkan pelan pembangunan penuh projek di tapak stadium itu secara rasmi kepada MBSA.

Tambahnya, perkara itu antara syarat perlu dipenuhi pihak pemaju sebelum kerja-kerja perobohan stadium dilakukan walaupun pelan kebenaran merancang untuk meroboh telah diluluskan di peringkat MBSA.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Abdul Razak turut mempersoalkan, siapakah pemaju sebenar projek KSSA adakah Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) Lembaran Prospek Sdn Bhd atau MRCB Builders Sdn Bhd.

"Juga apa alasan pihak pemaju gagal menghantar pelan penuh pembangunan keseluruhan KSSA atau ada perancangan lain yang dirancang ke atas ketiga plot-plot tanah tersebut apabila kerja-kerja perobohan selesai dilaksanakan nanti," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!