Pesta Wau Kelantan tarik penyertaan 15 negara antarabangsa

Kamarudin (tengah) menunjukkan banting penganjuran pesta wau di Tumpat.
Kamarudin (tengah) menunjukkan banting penganjuran pesta wau di Tumpat.
A
A
A

KOTA BHARU - Pesta Wau Antarabangsa Kelantan kali ke-41 yang bakal berlangsung di lokasi tradisi Pantai Geting, Tumpat bermula Khamis hingga Sabtu ini menarik penyertaan dari 15 negara dunia.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, penyertaan seramai 32 wakil negara-negara berkenaan itu kembali selepas terhenti ketika penularan Covid-19 sebelum ini.

“Kami menerima pengesahan peserta dari luar negara iaitu Amerika Syarikat, Australia, Singapura, Austria, Brunei, China, Kemboja, Thailand, Indonesia, Jepun, Hong-Kong, Jerman, Korea, Macau dan Poland.

“Selainnya, 205 peserta tempatan hampir kesemua negeri di Malaysia bergabung di bawah Majlis Pelayang Malaysia turut menyertai pesta ini,” katanya pada sidang akhbar pada Ahad.

Menurutnya, pesta berkenaan antara tiga acara utama dalam kalendar Tahun Melawat Kelantan 2024 yang dijangka menarik lebih 300,000 pelancong domestik dan tempatan ke negeri ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri melalui Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia bersama-sama membantu untuk menjayakan penganjuran festival tersebut.

“Festival bertemakan Wau Sepanjang Zaman memberi maksud budaya permainan wau atau layang-layang masih relevan sebagai medium riadah.

“Penganjuran pesta juga berkonsepkan pertandingan, persembahan, kebudayaan, pameran, demonstrasi, bengkel pembuatan wau dan gerai-gerai jualan yang pastinya akan memberikan kemeriahan kepada pengunjung,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Kamarudin memberitahu, setakat Januari hingga Mac lalu, Kelantan merekodkan jumlah pelancong seramai 400,000 melalui 30 acara di bawah kalendar sama.

Tambahnya, dua lagi penganjuran bakal menjadi tumpuan orang ramai ialah acara Larian Gunung Tok Nenek Bubu Yong Yap (TBBYY) Ultra 2024 dan Karnival Sukan Udara Antarabangsa Kelantan 3.0.

“TBBYY Ultra yang melibatkan perlumbaan 50 kilometer laluan hutan mencabar merentasi tiga gunung Gunung Tok Nenek, Bubu dan Yong Yap (2,134 meter) tertinggi di Semenanjung itu pula akan berlangsung pada Sabtu dan Ahad ini.

“Karnival Sukan Udara pula akan berlangsung pada 5 hingga 8 Julai ini di Kampung Gong Kubur, Pasir Puteh yang bakal disertai 150 peserta kategori alat kawalan jauh dan 100 paramotor,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!