Lelaki maut, rakan parah motosikal bertembung pacuan empat roda
KENINGAU - Seorang lelaki maut manakala rakannya parah selepas motosikal yang ditunggang mereka bertembung dengan sebuah pacuan empat roda di Jalan Keningau-Sook, di sini pada malam Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.40 malam itu, Alvin Tinus parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di lokasi manakala rakannya, Geofry mengalami patah kaki kanan.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintenden Yampil Anak Garai berkata, kemalangan melibatkan motosikal yang ditunggang dua lelaki dan sebuah pacuan empat roda empat individu termasuk pemandu.
"Siasatan mendapati kenderaan pacuan empat roda dalam perjalanan dari arah Sook ke Keningau dan sebaik tiba, motosikal tersebut yang datang dari arah Keningau telah hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan.
"Dalam kejadian itu, Alvin tercampak sejauh tiga meter di atas jalan dan meninggal dunia di lokasi manakala rakannya tercampak lima meter di sebelah kiri bahu jalan mengalami kecederaan patah kaki sebelah kanan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Yampil berkata, susulan kejadian itu mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Keningau untuk dibedah siasat.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!