Hospital Pantai Pulau Pinang salur RM100,000 bantu pesakit kurang kemampuan
GEORGE TOWN - Hospital Pantai Pulau Pinang berjaya mengumpul RM100,000 untuk disalurkan kepada Dana Perubatan Lions GTM-Pantai Penang (LGTM-PP) melalui kutipan acara larian, Pantai Marathon 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pantai Pulau Pinang, Pan Wen Lek berkata, Pantai Marathon 2024 yang berlangsung di Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah itu mendapat penyertaan lebih 3,000 yang terdiri daripada ahli komuniti dan orang ramai.
"Jumlah penyertaan ini menunjukkan semangat perpaduan dan sokongan masyarakat terhadap kerja amal bagi membantu mereka yang kurang berkemampuan.
"Dana Perubatan LGTM-PP adalah usaha sama yang ditubuhkan pada tahun 2010 antara Lions Club of George Town Mutiara dan Hospital Pantai Pulau Pinang.
"Ia bertujuan memberikan bantuan kewangan kepada pesakit kurang berkemampuan yang mendapatkan rawatan di Hospital Pantai Pulau Pinang. Dana yang dikumpulkan daripada acara larian ini memainkan peranan penting dalam meneruskan misi ini," katanya ketika berucap di Upacara Flag-Off Pantai Marathon 2024 di sini pada Ahad.
Tambah beliau, sehingga kini, Dana Perubatan LGTM-PP telah membantu lebih 308 pesakit yang memerlukan rawatan dalam memulihkan penglihatan mereka melalui prosedur katarak bersubsidi serta menyokong penggantian lutut (TKR) dan rawatan perubatan utama lain.
"Di Hospital Pantai Pulau Pinang, misi harian kami adalah untuk memperbaiki kehidupan manusia dan meningkatkan mutu penjagaan kesihatan. Mengumpul lebih RM100,000 melalui acara larian ini membuktikan komitmen masyarakat dalam menyokong inisiatif kesihatan.
"Komitmen kami terhadap tanggungjawab sosial korporat (CSR) ditunjukkan melalui usaha berterusan ini, yang juga menekankan matlamat kami untuk memperkasakan dan menyokong komuniti tempat kami tinggal dan bekerja," tambahnya.
Wen Lek berkata lagi, pihaknya amat mengutamakan penjagaan kesihatan dan peningkatan kualiti hidup komuniti dalam menekankan bantuan kepada penduduk tempatan dengan kerjasama kerajaan apabila timbul isu dalam perubatan.
"Ini adalah antara nilai-nilai asas IHH Healthcare. Selain itu, kami juga meningkatkan kesihatan awam melalui pelbagai inisiatif seperti intervensi perubatan, program jangkauan komuniti, kempen literasi kesihatan dan program pendidikan.
"Selain menyokong Lions Club of George Town Mutiara, Hospital Pantai Pulau Pinang juga menyumbang RM10,000 daripada dana Pantai Marathon untuk membantu Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Chong Cheng dalam meningkatkan kemudahan sekolah seperti menaik taraf padang bola keranjang," katanya.
Beliau menambah, sehingga kini, Hospital Pantai Pulau Pinang telah memulakan acara berjalan santai, menunggang basikal santai di bawah Pantai on Wheel (POW) serta latihan selang intensiti tinggi (HIIT).
"Lima Hospital Pantai iaitu Hospital Pantai Sungai Petani, Hospital Pantai Laguna Merbok, Hospital Pantai Ipoh, Hospital Pantai Manjung dan Hospital Pantai Pulau Pinang telah melancarkan Pantai Run iaitu acara larian bulanan, terbuka kepada orang ramai secara percuma.
"Selain marathon, empat Hospital Pantai lain iaitu Hospital Pantai Sungai Petani, Hospital Pantai Laguna Merbok, Hospital Pantai Ipoh dan Hospital Pantai Manjung mempamerkan inisiatif dan perkhidmatan kemalangan dan kecemasan (A&E) yang mana, mereka menawarkan sokongan menyeluruh kepada komuniti tempatan," ujarnya.
Menurut Wen Lek, selain menyediakan perkhidmatan ambulans secara percuma dalam radius 10 kilometer (km), semua hospital itu juga menawarkan nasihat perubatan percuma dan perkhidmatan pengangkutan untuk pesakit pulang ke rumah (radius 10km), memastikan penjagaan dan sokongan yang berterusan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!