Pemborong diesel didakwa gagal kemuka dokumen

Mohd Fared (kiri) tiba di Mahkamah Sesyen Kota Bharu.
Mohd Fared (kiri) tiba di Mahkamah Sesyen Kota Bharu.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang pemborong diesel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada Ahad atas 116 pertuduhan gagal mengemukakan dokumen dan menyelenggara buku stok diesel dalam pembelian bernilai lebih RM10 juta membabitkan 2.64 juta liter diesel dua tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Fared Ramli, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Mohd Fared didakwa melakukan kesemua kesalahan itu pada jam 12.30 tengah hari, 18 Disember 2022 di sebuah premis di Jalan Sultan Omar Kampung Chepa, Kubang Kerian di sini.

Bagi pertuduhan pertama sehingga pertuduhan 58, tertuduh yang juga pemegang lesen borong diesel dituduh gagal mengemukakan dokumen dan maklumat yang dikehendaki oleh Penolong Pengawal Bekalan di bawah Seksyen 8(1)(a) Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] berhubung pembelian diesel untuk tujuan eksport.

Bagi pertuduhan 59 hingga 116, Mohd Fared dituduh gagal menyelenggara buku stok diesel yang tidak mengandungi maklumat tarikh, harga, nama dan alamat penjual atau pembeli bagi penjualan diesel untuk tujuan eksport.

Justeru, dia dituduh melanggar Peraturan 13(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang merupakan suatu kesalahan di bawah Peraturan 21(1) Peraturan-Peraturan yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 Akta [Akta 122].

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN), Mohd Sophian Zakaria dan Suhana Mohd manakala tertuduh diwakili peguambela Datuk Sukri Mohamed

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, mahkamah memutuskan jaminan sebanyak RM100,000 ke atas tertuduh dengan seorang penjamin warga tempatan selain pasport diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah turut membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk kesemua pertuduhan dibicarakan bersama.

Kedua- dua pihak pendakwaan dan pembelaan turut bersetuju dengan syarat lain yang dikemukakan pihak pendakwaan iaitu tertuduh perlu melapor diri setiap bulan di Pejabat KPDN Putrajaya.

Mahkamah menetapkan 23 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!