Padah lumba haram, 199 penunggang dan pembonceng masuk 'pukat' polis

No Image Caption
A
A
A

IPOH - Padah berlumba haram dan menonton aktiviti tidak bermoral itu menyaksikan hampir 200 penunggang serta pembonceng motosikal masuk ‘pukat’ polis dalam Ops Bersepadu Samseng Jalanan di Jalan Kuala Kangsar-Ipoh sekitar Klebang Ria dan Klebang Putra, awal pagi tadi.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, dalam operasi bermula 2 hingga 6 pagi itu seramai 199 individu ditahan dan 191 kenderaan turut diperiksa.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan pihaknya mengeluarkan sejumlah 267 saman melibatkan pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu, tiada cermin sisi, lesen kenderaan tamat tempoh, kesalahan nombor plat, ubah suai ekzos, kenderaan tiada insurans dan brek tidak berfungsi.

"Sejumlah 39 motosikal disita, empat tangkapan dibuat di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ)1987 manakala hasil saringan air kencing oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) terdapat seorang individu didapati positif dadah jenis THC.

"Pemantauan dan risikan operasi Ops Samseng Jalanan akan diteruskan dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, kesemua individu yang ditahan dibawa dengan menolak motosikal masing-masing sejauh lima kilometer dari kawasan operasi ke Balai Polis Kampung Tawas.

Operasi selama empat jam itu membabitkan kira-kira 70 anggota dari Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Alam Sekitar dan AADK.

Sementara itu, seorang lelaki yang ditahan didapati membawa isteri yang hamil dua bulan menonton aktiviti lumba haram.

Artikel Berkaitan:

"Rasa menyesal juga bawa isteri hamil (tengok lumba haram) malam ini, masa 2019 dah berhenti tengok lumba haram tapi lepas lepak dengan kawan-kawan baru-baru ini mereka ajak (tonton lumba haram), saya pun bawalah isteri sekali,” kata lelaki berusia 26 tahun itu.

Isterinya yang dikenali sebagai Ika yang juga berusia 26 tahun berkata, dia hanya melayan hobi suami dan hampir setiap hujung minggu menemani suami menonton aksi lumba haram itu.

Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun yang turut ditahan berkata dia bermotosikal sejauh 50 kilometer dari Batu Gajah semata-mata mahu menyertai kumpulan lumba haram itu sebelum cedera terjatuh dari motosikal kerana cuba lari daripada sekatan polis. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!