Misi penting Joohari untuk tawan Sungai Bakap

Joohari
Joohari
A
A
A

SUNGAI BAKAP - Calon Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin mengakui cabaran merampas kerusi Sungai Bakap dari Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini memberi tekanan terhadapnya terutama dalam membuktikan sokongan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata, meskipun kekuatannya bertambah termasuk sokongan dari jentera parti-parti komponen serta bantuan oleh pimpinan tertinggi dalam Kerajaan Perpaduan, namun misi penting itu perlu digalas sebaiknya untuk memastikan momentum kemenangan calon PH dapat diteruskan selepas kejayaan pada PRK Kuala Kubu Baharu sebelum ini.

"Secara peribadi, tekanan itu ada kerana semua pihak meletakkan harapan tinggi untuk kita memenangi kerusi ini, apatah lagi Sungai Bakap bukan ‘status quo’, maksudnya sebelum ini menang, sekarang menang, tetapi kini kita mahu menang di tempat yang kita kalah.

"Sebab itu kita perlu bekerja keras dan tidak mustahil 1,563 undi yang disifatkan penganalisis politik sebagai undi kelabu akan dapat kita putihkan,” katanya ketika ditemui pemberita pada sesi ramah bersama media di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di sini, pada Ahad.

Bekas Pengarah Institut Aminudin Baki Cawangan Utara itu berkata, pada Pilihan Raya Negeri lalu mungkin pengundi di Sungai Bakap mempunyai alasan tertentu memilih PN berbanding PH.

Katanya, isu sentimen, kepercayaan dan presepsi yang dibawa oleh pihak lawan menyebabkan kerusi Sungai Bakap terlepas kepada PN dan ia perlu segera diperbetulkan untuk memastikan kerusi berkenaan kembali kepada PH.

"Jadi dalam kempen yang diadakan ini, kita kena betulkan balik persepsi kerana kita nak bawa balik supaya mereka percaya kepada kita.

"Oleh itu, kita kena kerja keras, beri maklumat yang tepat kepada masyarakat supaya mereka memilih orang yang betul," tambahnya lagi.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Nur Ayuni Mohd Isa dilaporkan berkata, pertembungan satu lawan satu calon anak tempatan itu juga sengit kerana Sungai Bakap adalah ‘kawasan kelabu'.

Ini kerana kemenangan PN menerusi wakil Pas di kawasan itu pada PRN sebelum ini sebanyak 1,563 undi sahaja yang menjadikan kedua-dua parti sama ada PH atau PN mempunyai potensi cerah untuk menang.

Mengulas mengenai pendekatan yang digunakannya bagi meraih sokongan orang muda, Joohari berkata, pengalamannya bergelar pendidik akan digunakan untuk menarik undi anak muda.

"Sebagai seorang yang berusia mungkin dilihat sukar untuk saya mendekati orang muda, tetapi dengan bantuan serta sokongan bekas-bekas anak murid saya yang masih muda, dilihat dapat membantu menarik sokongan generasi muda untuk bersama PH.

“Kita perlu dekati pengundi pertama kali (first voter) dengan ilmu kerana bagi saya, orang baru (undi) ini kalau mereka yakin dengan seseorang (calon) yang boleh kekalkan dua tiga penggal, dia akan undi (calon) yang sama," katanya lagi.

PRK DUN Sungai Bakap yang menyaksikan pertembungan antara calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail itu, diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei akibat keradangan dalam perut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!