Isu 6 MP Bersatu: Tiada masalah Speaker umum kosongkan kerusi
JOHOR BAHRU - Tiada masalah untuk Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengumumkan kekosongan kerusi enam ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang telah hilang keahlian dalam partinya kerana menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad berkata, tindakan itu ada asasnya selepas semua ahli Parlimen terbabit dipindahkan tempat duduk dalam Dewan Rakyat yang sebelum ini berada di blok pembangkang.
Jelas beliau, keputusan tersebut menunjukkan keenam-enam ahli Parlimen terbabit sudah tidak lagi bersama-sama pembangkang dan menganggapnya sudah menjadi wakil rakyat Bebas.
"Kerana Speaker anggapkan mereka sudah terkeluar dari blok pembangkang, maka Speaker pindahkan tempat duduk mereka keluar dari tempat duduk pembangkang. Maknanya dah 'lompat' jadi Bebas.
"Jadi, secara logiknya, Speaker mudah sangat hendak melangkah setapak lagi dengan mengistiharkan kerusi-kerusi mereka pun berlaku kekosongan. Tapi, politik ada logiknya tersendiri," tulis beliau dalam Facebook miliknya pada Ahad.
Bersatu sebelum ini mengemukakan notis kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat memohon supaya enam kerusi Parlimen dipegang oleh wakil rakyatnya itu dikosongkan yang dihantar Ketua Whip Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee pada Jumaat.
Dalam satu kenyataan media, Ronald yang juga Naib Presiden Bersatu berkata, keahlian parti keenam-enam mereka yang sebelum ini menyokong Anwar telah terhenti secara serta-merta.
Mengulas lanjut, Shahrir berkata, beliau sudah lama mengikuti perbincangan tentang ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) itu dengan perasaan yang bercampur pelik dan geli hati.
"Sekarang ditegaskan Speaker sahaja yang boleh tentukan sama ada kerusi-kerusi mereka itu kosong dan demikian, perlu diadakan pilihan raya kecil.
"Sebenarnya Speaker sudah lama menetapkan bahawa kesemua ahli-ahli Parlimen itu tidak lagi menjadi anggota parti pembangkang. Ini berlaku apabila Speaker telah memindahkan mereka keluar dari blok tempat duduk pembangkang dalam dewan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!