Warga Thai mengaku salah miliki 100 liter RON95
PASIR MAS - [DIKEMASKINI] Seorang lelaki Thailand didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Pasir Mas hari ini selepas mengaku salah atas pertuduhan memiliki minyak petrol RON95 tanpa lesen.
Hakim Mohd Rosly Mohamed Nawi menjatuhkan hukuman itu selepas Muhammadsukuple Chesoo, 41, mengaku bersalah pertuduhan disabitkan ke atasnya.
Mengikut pertuduhan, Muhammadsukuple didakwa memiliki 100 liter petrol RON95 tanpa lesen sah di Kompleks Imigresen Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Rantau Panjang kira-kira jam 9.40 malam pada 20 Januari lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Mahkamah juga menetapkan hukuman penjara 18 bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda selain kenderaan milik tertuduh turut dilucutkan hak.
Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan, Mohd Mohd Yusri Yunus manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pada 20 Januari lalu Pasukan Gerakan Am, Batalion 8 telah membuat tangkapan berhubung kes tersebut kemudian diserah kepada pihak KPDNHEP Pasir Mas pada hari yang sama untuk siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!