PERKESO Terengganu sasar 5,600 suri rumah carum SKSSR
KUALA TERENGGANU - Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Terengganu menyasarkan seramai 5,600 suri rumah mendaftar sebagai pencarum dalam Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) di seluruh negeri pada tahun ini.
Pengarah PERKESO Terengganu, Farihah Che Husin berkata, seramai 300 golongan suri rumah sudah mencarum dalam skim tersebut bermula awal Januari lepas sehingga kini.
"PERKESO Terengganu telah membayar lebih RM100,000 kepada suri rumah yang mendapat bencana termasuk kemalangan ketika berada di rumah seperti terkena minyak dan air panas atau kemalangan di luar rumah iaitu membeli barangan keperluan serta menguruskan anak-anak bagi urusan persekolahan.
"Selain itu, pencarum di bawah skim ini juga tidak melibatkan suri rumah sepenuh masa tetapi mereka yang bekerja juga sama ada sektor swasta atau kerajaan boleh mencarum.
"Syaratnya adalah mereka merupakan warganegara Malaysia, seorang wanita dan berusia tidak melebihi 55 tahun," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri taklimat 'Perlindungan PERKESO Kepada Pengamal Media' peringkat negeri Terengganu di sini pada Ahad.
SKSSR yang mula dilaksanakan pada 1 Disember 2022 menawarkan faedah di bawah Perlindungan Bencana Domestik dan Perlindungan Keilatan seperti Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Kekal, Elaun Keuzuran, Faedah Pengurusan Mayat dan Pencen Penakat.
Skim perlindungan di bawah Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 (Akta 838) ini terbuka kepada wanita warga tempatan dan pemastautin tetap berusia kurang 55 tahun dan menguruskan rumah tangga sepenuh masa atau separuh masa, berkahwin atau bujang.
Mengulas lanjut, Farihah berkata, suami juga digalakkan untuk mencarum skim tersebut untuk isteri mereka atau ia boleh dilakukan sendiri oleh golongan suri rumah terbabit.
Beliau menyatakan skim itu juga boleh dicarum oleh wanita bujang yang ingin mendapatkan perlindungan diri mereka sekiranya terlibat dalam kemalangan domestik.
Sementara itu, Farihah berkata, pihaknya menyasarkan seramai 12,000 pekerja sektor gig dan bekerja sendiri di Terengganu mencarum Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) pada tahun ini.
"Untuk rekod pada 2023, PERKESO Terengganu telah sasarkan lebih 8,000 untuk pencarum di seluruh Terengganu yang bekerja sendiri dicarumkan di bawah SKSPS dan sasarsn itu telah mencapai lebih dari 8,000 pendaftaran.
"Mereka yang bekerja sendiri di 20 sektor di bawah SKSPS termasuk sektor perikanan, pembuatan, perladangan, pertanian dan sebagainya pada tahun 2023.
"Jadi tahun ini kita sasarkan lebih dari 10,000 pendaftaran melibatkan pekerja yang bekerja sendiri," ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!