Ketua Pengarah JBPM terima pingat tertinggi Cuepacs

Nor Hisham (kiri) terima penganugerahan Bintang Jasa Terbilang Cuepacs dalam Majlis Anugerah dan Pingat Cuepacs 2024 yang diadakan di Hotel Melia, Kuala Lumpur pagi tadi.
Nor Hisham (kiri) terima penganugerahan Bintang Jasa Terbilang Cuepacs dalam Majlis Anugerah dan Pingat Cuepacs 2024 yang diadakan di Hotel Melia, Kuala Lumpur pagi tadi.
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk TS Nor Hisham Mohammad menerima anugerah Bintang Jasa Terbilang Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).

JBPM dalam satu hantaran di Facebook berkata, penganugerahan itu merupakan bintang tertinggi yang diberikan kepada individu berjaya kepada kongres berkenaan dan pernah menjawat jawatan tertinggi Cuepacs.

“Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah dianugerahkan dengan Bintang Jasa Terbilang Cuepacs pada Majlis Anugerah dan Pingat Ceupacs 2024 yang diadakan di Hotel Melia, Kuala Lumpur pagi tadi,” kata kenyataan itu.

Mengulas mengenai penganugerahan berkenaan, Nor Hisham berkata, beliau menerima pemberian itu bagi semua warga kerja JBPM.

“Alhamdulillah. Terima anugerah bagi pihak semua warga kerja Bomba dan Penyelamat Malaysia. Menerima anugerah tertinggi Cuepacs, Bintang Jasa Terbilang.

“Jutaan penghargaan kepada Datuk Presiden dan pimpinan tertinggi Cuepacs. Seterusnya Presiden dan kepimpinan tertinggi Kesatuan Pekerja Bomba dan Penyelamat Semenanjung Malaysia dan Sabah yang bekerja bersama dalam harmoni memperjuangkan kebajikan anggota,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Ahad.

Dalam pada itu, Nor Hisham turut memberitahu bahawa beliau jugak tidak melupakan kepimpinan tertinggi JBPM di semua peringkat dan Majlis Bersama Jabatan.

Penganugerahan Bintang Jasa Terbilang Cuepacs disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali diiringi Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Presiden Cuepacs, Datuk Dr Adnan Mat.

Artikel Berkaitan:

Nor Hisham dilahirkan pada 12 Oktober 1972 di Panchor, Perak dan mendapat pendidikan awal di Pahang sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Malaya seterusnya menerima Ijazah Sarjana Muda Pengajian Alam Sekitar pada 1996.

Pada tahun 2002, beliau memperoleh Diploma Tertinggi Kebangsaan bagi Pengajian Pengurusan dan Operasi Kebakaran Majlis Pendidikan Teknologi dan Perniagaan (BTEC) daripada Universiti Lancashire Tengah, United Kingdom (UK).

Kemudian, beliau menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada tahun 2016.

Nor Hisham memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam di JBPM pada 16 Mei 1997 sebagai Penguasa Bomba Gred KB41 di Bahagian Keselamatan Kebakaran Ibu Pejabat JBPM.

Sementara itu, beliau juga pernah memegang beberapa jawatan penting dalam jabatan berkenaan seperti Timbalan Ketua JBPM (Pembangunan), Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat (2020-2023).

Seterusnya, Pengarah JBPM Negeri Pahang (2018-2020), Pengarah JBPM Negeri Sarawak (2011-2018) serta Komandan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Tengah (2009-2011).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!