PRK Nenggiri: Bukan soal calon Pas atau Bersatu

Kamaruddin
Kamaruddin
A
A
A

KOTA BHARU - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan menyerahkan kepada pucuk pimpinan Perikatan Nasional (PN) dalam menentukan calon sama ada dari Pas atau Bersatu sendiri yang akan bertanding mengisi kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Noor berkata, perihal penetapan calon berkenaan melibatkan dasar gabungan parti dan pihaknya meletakkan kemenangan PN sebagai perkara keutamaan pada pilihan raya kecil (PRK) nanti.

“Soal calon dari Pas atau Bersatu, itu kepimpinan yang akan tentukan.

“PRK atau PRU bukan bawa nama Pas mahupun Bersatu tetapi calon bawa nama baik PN dan paling penting ialah memastikan kemenangan PN,” katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa sidang akhbar Pesta Wau Antarabangsa Kelantan kali ke-41, di sini, pada Ahad.

Beliau mengulas, tarikh perbincangan pemilihan calon juga belum ditetapkan kerana menunggu berkemungkinan ada pengumuman oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkait isu kerusi enam lagi Ahli Parlimen termasuk Jeli dan Gua Musang.

Selainnya, Kamaruddin juga menjangkakan pihaknya juga akan menggunakan logo Pas pada PRK di peringkat negeri itu.

“Kita tunggu jika ada pilihan raya lain dan boleh dibuat secara serentak.

“Di negeri, saya rasa akan guna logo Pas tetapi masih di peringkat perbincangan dan akan diputuskan oleh pusat nanti,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau menyifatkan tindakan ADUN Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim yang didakwa membelakangkan parti dengan menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tidak menghargai kelebihan diberikan di dua kerusi sebagai Ahli Parlimen Gua Musang dan ADUN Nenggiri.

Katanya, dalam Bersatu, kelebihan itu hanya diberikan kepada Mohd Azizi selepas perbincangan dengan pucuk pimpinan parti.

“Perkara inilah yang membuatkan saya sangat terkilan kerana kami yang tolong beliau untuk bertanding terutama di kerusi Nenggiri sebelum ini.

“Tetapi cukuplah beliau sudah diisytihar bukan lagi ahli parti dan ADUN Nenggiri dan mungkin lepas ini bukan lagi ahli dewan rakyat,” katanya.