[VIDEO] 'Jeffrey orang Dusun, saya orang Sungai sama saja ' - Bung Moktar
PAPAR - Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin membidas kenyataan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan yang menolak parti dari Semenanjung yang dikatakannya cuba merebut kerusi Parlimen di Sabah.
Bung Moktar menegaskan UMNO yang bertapak di Sabah itu dipimpin oleh rakyat tempatan termasuk beliau yang juga penduduk asal negeri ini.
"Siapa Jeffrey ini? Siapa STAR ini? Dia mulut celupar, bertanding menang satu kerusi saja Parlimen, DUN dia menang, enam kerusi DUN dia kalah tapi mulut dia celupar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag itu berkata demikian ketika berucap pada perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Kimanis di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bongawan, di sini pada Ahad.
Hadir sama ialah Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Bahagian UMNO Kimanis merangkap Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin.
Dalam pada itu, Bung Moktar mengingatkan ahli UMNO Sabah supaya tidak terpengaruh dengan hasutan daripada pihak lain terhadap UMNO.
"Jangan kita terlena dengan hasutan dan juga kebencian daripada musuh-musuh. Di Sabah ini kita cuba berbaik, kita berbaik dengan semua orang dengan semua parti.
"Tetapi tidak pernah seinci pun di hati mereka untuk melihat kita ini baik bahkan mereka lihat UMNO ini sebagai musuh dan perlu dihancurkan," katanya.
Sehubungan itu, Bung Moktar berkata, sudah tiba masanya untuk jentera di negeri ini memperkukuhkan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
"Kami akan memastikan UMNO Sabah terkuat di seluruh negara. Kami akan jadikan sebagai kemenangan kami dan kemenangan UMNO Sabah ini akan menyumbang kepada kemenangan UMNO di seluruh negara.
"Kita perlu mengambil iktibar, tidak boleh berlengah lagi, kita tidak boleh lagi melukut di tepi gantang. Kita tidak boleh lagi menjadi parti yang asal ada, asal dapat jadi kerajaan, sudah ada dalam kerajan dan untuk makluman, keluar daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), sedikit pun tidak ada kekesalan dalam jiwa saya," tegasnya.
Sebelum itu, Jeffrey dilaporkan berkata, menolak parti dari Semenanjung yang datang untuk merebut kerusi Parlimen di Sabah.
Beliau berkata, pembahagian kerusi Parlimen sudah dilakukan di mana Semenanjung sudah memiliki bahagian besar dalam kerusi Parlimen iaitu sebanyak 65 peratus manakala di Sabah dan Sarawak hanya 35 peratus.
Bagaimanapun, beliau mendakwa peratusan itu sudah berkurangan kepada 25 peratus manakala kerusi di Semenanjung telah bertambah sehingga 75 peratus.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!