Wanita rugi RM148,200 angkara Love Scam

Seorang penjawat awam lelaki di Miri, bahagian utara Sarawak, kerugian RM12,000 akibat terpedaya dengan sindiket Love Scam selepas berkenalan dengan seorang wanita menerusi laman sosial Instagram. Gambar hiasan (Gambar kecil: Mohd Zain)
Seorang penjawat awam lelaki di Miri, bahagian utara Sarawak, kerugian RM12,000 akibat terpedaya dengan sindiket Love Scam selepas berkenalan dengan seorang wanita menerusi laman sosial Instagram. Gambar hiasan (Gambar kecil: Mohd Zain)
A
A
A

SETIU - Seorang wanita dekat sini mengalami kerugian sebanyak RM 148,200 setelah terpedaya dengan sindiket Love Scam selepas berkenalan dengan seorang lelaki menerusi laman sosial Facebook.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintenden Mohd Zain Mat Dris berkata, mangsa berusia 51 tahun itu telah berkenalan dengan seorang lelaki yang menggunakan profil Facebook bernama Azli Ahmad dengan memakai gambar sebagai seorang juruterbang sejak awal Jun lepas.

"Mangsa telah melayari aplikasi Facebook dan menerima mesej pada ruangan Messenger yang dihubungi oleh lelaki tersebut. Kemudian wanita itu telah berhubung melalui talian WhatsApp yang diberikan untuk berkenalan lebih rapat.

"Setelah saling mengenali, lelaki tersebut telah menawarkan untuk menghantar bungkusan hadiah seperti beg tangan, jam tangan, kasut dan duit bernilai RM47,127 (USD10,000) untuk disedekahkan kepada anak yatim.

"Bungkusan yang dihantar adalah sebagai tanda persahabatan di antara mereka. Pada 14 Jun lepas, mangsa telah dihubungi oleh seorang individu mengaku sebagai ejen penghantaran yang menyatakan terdapat masalah dalam bungkusan yang dihantar kepada mangsa," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, Mohd Zain berkata, ejen terbabit telah meminta mangsa untuk membuat bayaran duti import dan kos penghantaran bagi melepaskan bungkusan yang dihantar kepada mangsa.

Beliau berkata, bermula 14 Jun sehingga 22 Jun lepas, mangsa telah membuat 23 transaksi bayaran kepada akaun berlainan dengan jumlah keseluruhan RM148,200.

"Mangsa juga telah diugut untuk membuat bayaran di mana individu berkenaan menyatakan mangsa ada terlibat dengan pelbagai aktiviti jenayah lain selain akan diambil tindakan sekiranya tidak membuat bayaran.

Artikel Berkaitan:

"Disebabkan berasa takut mangsa telah mengikut segala arah yang diberikan sehingga mangsa mengalami kerugian," ujarnya.

Mohd Zain menyatakan mangsa yang menyedari sudah ditipu telah membuat laporan polis pada 22 Jun lepas.

"Tindakan mengesan dan menangkap suspek giat diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!